Saturday 19 March 2016

Puak Kurdis isytihar wilayah persekutuan di Syria


REUTERS - DELEGASI yang menyertai persidangan untuk mewujudkan sistem pemerintahan persekutuan Kurdis bergambar di bandar Rmeilan, wilayah Hasaka, Syria kelmarin. RMEILAN, Syria – Puak Kurdis kelmarin mengisytiharkan sebuah wilayah persekutuan di kawasan penguasaan mereka di utara Syria, namun langkah tersebut ditolak oleh kerajaan dan kumpulan penentang di negara bergolak tersebut.
Pengumuman itu dipercayai akan membangkitkan kemarahan jiran Syria, Turki di samping menyukarkan proses damai di Geneva bagi menamatkan perang saudara di negara itu yang berlarutan selama lima tahun.
Amerika Syarikat yang menjadi penyokong kuat pejuang Kurdis memerangi kumpulan militan Islamic State (IS) turut memberi ama­ran bahawa ia tidak akan mengiktiraf sebarang wilayah pemerintahan Kurdis di Syria.
Lebih 150 delegasi daripada puak Kurdis, Arab, Assyria dan parti-parti lain yang bermesyuarat di tenggara Syria bersetuju mewujudkan sistem pemerintahan persekutuan itu bagi menyatukan kawasan yang dikuasai puak Kurdis di beberapa wilayah Syria.
“Kami memberikan persetujuan untuk menubuhkan sistem peme­rintahan persekutuan di Rojava (tiga kawasan puak Kurdis) dan uta­ra Syria,” kata seorang ahli jawatankuasa berkenaan, Aldar Khalil.
Pengumuman mengenainya dibuat pada hari kedua mesyuarat berkenaan di Rmeilan, sebuah bandar sempadan di wilayah Hasakeh, timur laut Syria.
Sebelum ini, parti-parti puak Kurdis telah mewujudkan tiga pentadbiran autonomi di utara Syria yang mempunyai polis dan sekolah berasingan.
Tiga kawasan yang terletak di utara Syria dan bersempadan dengan Turki itu dikenali sebagai Afrin, Kobane dan Jazire.
Unit Perlindungan Bangsa Kurdis (YPG) yang merupakan sayap bersenjata Parti Kesatuan Demokratik Kurdis telah membersihkan kawasan yang luas di rantau ber­kenaan daripada penguasaan IS.
Turki menganggap YPG sebagai sekutu Parti Pekerja Kurdistan (PYD) di Syria, Ankara memerangi PYD yang berjuang menuntut kemerdekaan daripada Turki. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz43JkgZxID 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment