Menurut portal presstv.ir, Majed Hussein al-Sadeq bersama tiga lagi anggota kumpulan berkenaan yang mempunyai kaitan dengan rangkaian militan al-Qaeda terbunuh dalam serangan yang disasarkan ke arah ibu pejabat kumpulan itu di bandar Binnish, kira-kira 10 kilometer di barat laut wilayah Idlib.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan bahawa seorang individu yang tidak dikenali meletakkan sebuah motosikal berhampiran ibu pejabat kumpulan militan itu sebelum berjalan kaki menuju ke tempat kumpulan militan itu berkumpul.
Lelaki berkenaan kemudian meletupkan bahan letupan yang dipakainya, sekali gus mengorbankan Majed dan tiga lagi anggota kumpulan militan itu.
Badan pemantau itu yang berpangkalan di Britain berkata, beberapa orang anggota kumpulan militan Takfiri itu turut cedera.
Menurutnya, angka korban dijangka meningkat kerana beberapa anggota kumpulan militan itu yang cedera kini berada dalam keadaan kritikal.
Julai lalu, seorang pemimpin kanan Ahrar al-Sham, dikenal pasti sebagai Abu Abdel Rahman Salqin terkorban selepas dua individu yang tidak dikenali meletupkan bahan letupan di pangkalan kumpulan militan itu di Abu Talha, wilayah Idlib.
Ahrar al-Sham merupakan sebuah kumpulan militan paling lama ditubuhkan sejak 2011 dan memiliki ramai anggota yang beroperasi di Syria, serta aktif di wilayah Idlib.