Jet berkenaan ditembak jatuh di kawasan pergunungan Talat al-Iss di selatan bandar Aleppo, kawasan yang teruk dibedil jet pejuang Syria dan Rusia setelah berjaya menawannya daripada kumpulan sekutu rangkaian militan al-Qaeda, baru-baru ini, walaupun perjanjian gencatan senjata sedang berlangsung.
Tentera Syria melaporkan, jet berkenaan ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu penangkis pesawat, namun kumpulan penentang memaklumkan bahawa jet itu ditembak jatuh menggunakan meriam penangkis pesawat.
Kumpulan penentang yang disokong barat dan golongan Sunni, amat berhati-hati menggunakan senjata seperti peluru berpandu penangkis pesawat kerana bimbang ia jatuh ke tangan kumpulan konservatif.
Kerajaan Syria sebelum ini memberitahu bahawa sebuah peluru berpandu penangkis pesawat telah digunakan untuk menembak jatuh jet pejuang tentera Syria di barat Syria pada Mac lalu.
Sementara itu, Barisan Al-Nusra menyiarkan rakaman video rangka jet berkenaan yang ditemui di sebuah kawasan terbuka, dan rakaman video itu turut menunjukkan juruterbangnya yang dikenali sebagai Khaled Saeed ditahan di lokasi lain.
Khaled berkata, dia ditugaskan melancarkan pengeboman di kawasan berkenaan sebelum pesawatnya terkena tembakan senjata penangkis pesawat.
Dalam kenyataan berasingan menerusi Twitter, kumpulan Ahrar al-Sham mengaku bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan.
Kerajaan Syria pula memberitahu bahawa jet berkenaan sedang dalam misi meninjau ketika ia ditembak jatuh dan juruterbangnya terselamat dan usaha sedang dijalankan untuk mencari dan menyelamatkannya. – Reuters