Saturday 2 April 2016

Tolak kerajaan campuran di Syria


REUTERS - BASHAR sewaktu ditemu ramah oleh agensi berita Rusia, RIA Novosti di Damsyik, Syria kelmarin.


BEIRUT – Parti pembangkang utama Syria, Jawatankuasa Rundingan Tinggi (HNC) kelmarin menolak sepenuhnya cadangan Presiden Bashar Al-Assad untuk mewujudkan kerajaan campuran di negara berkenaan.
“Resolusi antarabangsa menyebut, pembentukan sebuah badan peralihan dengan kuasa penuh termasuk kuasa-kuasa Presiden. Bashar tidak sepatutnya kekal walaupun hanya untuk satu jam selepas pembentukan badan itu.
“Bashar dan kumpulannya perlu tinggal di luar dunia nyata, di sebuah planet lain. Semua pengumuman baharunya adalah cubaan untuk mengelak persoalan peralihan itu,” kata anggota kanan HNC, Asaad Al-Zoabi kepada agensi berita AFP.
Bashar membuat cadangan berkenaan dalam satu temu ramah dengan agensi berita Rusia, RIA Novosti yang diterbitkan kelmarin.
Pemimpin Syria itu menyatakan bahawa adalah logik adanya kehadiran pasukan tentera bebas, pasukan pembangkang dan pasukan yang setia kepada kerajaan untuk berada dalam badan peralihan tersebut.
Dia tidak menyatakan kumpulan pembangkang mana yang patut terlibat dalam kerajaan peralihan itu tetapi kenyataannya menyusul ketika Damsyik berdepan tekanan antarabangsa untuk berkompromi dengan rundingan tajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi menamatkan perang saudara sejak lima tahun lalu.
Rundingan damai diketuai wakil PBB, Staffan de Mistura itu dihentikan sementara minggu lalu selepas semua pihak terlibat mene­mui jalan buntu melibatkan nasib Bashar yang dituntut pembangkang supaya melepaskan kuasa sebelum satu kerajaan peralihan dipersetujui.
Badan eksekutif yang dibentuk untuk memerintah Syria selama 18 bulan sehingga pilihan raya baharu diadakan itu menjadi rebutan kedua-dua belah pihak yang terbabit dalam rundingan tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz44cZ47JGF 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment