ANKARA - SYRIA . Puluhan kanak-kanak Syria berumur antara 8 dan 12 tahun telah didera secara seksual di kem pelarian di wilayah tenggara Gaziantep di Turki selama beberapa bulan.
Kelmarin, akhbar berhaluan kiri, BirGun melaporkan seorang tukang cuci didakwa telah melakukan serangan seksual ke atas 30 budak lelaki di dalam bilik air di kem pelarian Nizip sejak September 2015 hingga awal tahun lalu. 
Lelaki berumur 29 tahun yang hanya dikenali sebagai E E itu telah membuat pengakuan melakukan perbuatan itu ke atas kesemua mangsa tanpa dikesan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan turut memberikan wang sebanyak AS$0.51-1.69 (RM2.06-6.80) kepada mereka.
Difahamkan, perbuatan tidak senonoh lelaki itu terbongkar selepas salah seorang mangsa dikenali sebagai H I mengadu kepada bapanya.
Berang dengan insiden itu, keluarga mangsa tampil membuat aduan manakala selebihnya enggan mengambil sebarang tindakan kerana bimbang dihantar pulang ke negara asal.
Susulan itu, suspek kini diletakkan dalam tahanan praperbicaraan dan jika disabit bersalah dia bakal berdepan hukuman penjara 289 tahun. - Press TV