Menurut kenyataan tentera Syria, Damsyik akan mematuhi gencatan senjata selama dua hari itu selepas mencapai persetujuan dengan Washington dan Moscow.
“Gencatan selama 48 jam di Aleppo akan berkuatkuasa bermula 1 tengah hari waktu tempatan hari ini,” jelas kenyataan tersebut.
Sementara itu, pertempuran dilaporkan masih meletus di Aleppo dan di sebuah kawasan di barat Damsyik.
“Kami mendapati secara keseluruhannya, keganasan semakin menurun di kedua-dua kawasan itu, walaupun terdapat laporan masih berlaku pertempuran di beberapa lokasi lain,” kata Setiausaha Negara AS, John Kerry.
Rusia dan AS mula bekerjasama sejak perjanjian gencatan senjata pada 27 Februari lalu di bandar Aleppo yang terbahagi kepada beberapa puak termasuk yang menyokong dan menentang kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad.
Minggu lepas, Rusia dilaporkan bersetuju terhadap syarat-syarat gencatan senjata di Latakia dan pinggir Damsyik, namun mahu kerajaan pimpinan Bashar dibenarkan menentang kumpulan Barisan Al-Nusra yang merupakan sekutu rangkaian milita al-Qaeda di Aleppo.
Pertempuran sengit, bagaimanapun dilaporkan masih berlarutan di sekitar bandar tersebut antara kumpulan pemberontak dengan tentera kerajaan.
Ketua Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria (SOHR) yang beribu pejabat di London, Rami Abdel Rahman menyifatkan pertempuran itu sebagai yang paling ganas di Aleppo dalam tempoh setahun.
Dalam pada itu, agensi berita Syria, SANA melaporkan, tiga orang awam terbunuh dalam beberapa siri serangan roket di bahagian barat Aleppo dalam tempoh beberapa hari lalu.
Wakil AFP di Aleppo pula memberitahu bahawa pesawat milik tentera Syria melancarkan beberapa serangan terhadap kumpulan pemberontak di timur Aleppo.
Serangan di selatan Ghouta, berhampiran Damsyik itu dibuat selepas tempoh penggantungan sementara gencatan senjata di kawasan itu selama satu malam, tamat. – AFP