Menurut laporan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, antara 6 Jun hingga 12 Jun lalu, sekurang-kurangnya 148 awam terbunuh termasuk 50 kanak-kanak dan 15 wanita selepas helikopter menggugurkan bom di kawasan kediaman mereka.
Sementara itu, 12 orang awam pula terbunuh dalam sera­ngan kumpulan militan IS, manakala seorang lelaki dipenggal kepalanya oleh kumpulan militan ber­kenaan dalam tempoh yang sama.
Jumlah berkenaan terma­suk kematian akibat serangan udara di sebuah pasar di bandar Idlib pada Ahad lalu yang menyaksikan sekurang-kurangnya 40 orang awam terbunuh, dan menurut aktivis kebanyakan mangsa adalah wanita serta ka­nak-kanak.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya sikap masyarakat antarabangsa kerana berterusan mendiamkan diri terhadap jenayah yang dilakukan ke atas penduduk Syria,” tegas mereka.
Laman web aljazeera.com memetik beberapa kumpulan pemantau termasuk pihak berkuasa Turki menuduh Rusia melancarkan serangan udara di Idlib, namun pihak berkuasa Rusia menafikan sebarang penglibatan.
Kawasan berkenaan dikuasai bersama kumpulan pemberontak Tentera Penakluk termasuk Barisan al-Nusra, namun mereka tidak terlibat dalam perjanjian gencatan senjata pada Februari lalu.
Laporan pemantau itu dikeluarkan ketika beratus-ratus penduduk awam melarikan diri dari kubu kuat kumpulan militan IS, Manbij di utara Syria, manakala beribu-ribu lagi masih terperangkap di bandar itu yang dikepung oleh tentera Arab Saudi dan Kurdis yang disokong Amerika Syarikat (AS).
Konflik Syria yang bermula dengan tunjuk perasaan aman pada Mac 2011 bertukar menjadi perang saudara membabitkan banyak pihak.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah korban meningkat kepada 280,000 orang, manakala separuh daripada penduduk negara ini dipaksa meninggalkan kediaman mereka.