Saturday 20 August 2016

Kes Omran tidak akan hentikan perang di Syria




KAWASAN tempat kediaman Omran hancur selepas menjadi sasaran serangan udara.

Aleppo: Pakar kanak-kanak di sebuah hospital di sini berkata, kes Omran Daqneesh yang gambarnya menjadi simbol kedahsyatan perang di Syria, adalah perkara biasa di wilayah itu.

“Kami merawat puluhan kes seperti Omran setiap hari, dengan kecederaan yang lebih teruk.

“Terdapat ribuan cerita mengenai kanak-kanak yang cedera. Ada yang putus anggota tubuh, ada yang perut dan kepala berkecai,” kata Dr Abu al-Baraa.

Menurutnya, semalam sahaja tujuh orang terbunuh dan ramai lagi yang cedera dalam serangan udara terhadap kawasan yang dikuasai penentang rejim Bashar.

“Seorang kanak-kanak cedera di dada dan kepala. Kami cuba menghentikan pendarahannya. Tetapi keadaannya terlalu parah dan dia meninggal dunia. Budak itu berusia kira-kira enam tahun. Kes seperti ini kami temui hari-hari,” katanya.

Menurut Abu al-Baraa, meskipun dunia terkejut dan bersimpati dengan Omran selepas gambarnya viral di media sosial dan akhbar utama di seluruh dunia, keadaan tidak akan berubah.

“Dunia boleh menonton video kanak-kanak yang menderita setiap hari. Kanak-kanak yang mati dalam serangan, ditimbus oleh runtuhan bangunan. Tetapi dunia tidak memberi tumpuan. Dunia hanya berjanji. Dan janji mereka kosong belaka,” kata pakar kanak-kanak itu.

Perang di Syria yang bermula sejak 2011 yang bermula dengan tunjuk perasaan anti-Bashar sudah meragut lebih 290,000 nyawa, termasuk hampir 15,000 kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya 2,8 juta kanak-kanak Syria, sebahagiannya di negara sendiri dan yang lain menjadi pelarian, tidak bersekolah. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:03 AM

No comments:

Post a Comment