Wednesday 10 August 2016

Rakyat Syria terancam akibat putus bekalan air


10 OGOS 2016
Syria

Syria
ALEPPO - SYRIA . Kanak-kanak di bandar Aleppo berdepan risiko kematian akibat penyakit jika bekalan air gagal disalurkan segera, kata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pertempuran perlu dihentikan serta merta bagi membenarkan rangkaian air dan elektrik dapat dibaiki.

"Kira-kira dua juta penduduk terjejas tanpa bekalan penting ini.

"Pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak dilaporkan semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini," katanya.

Sekurang-kurangnya 250,000 orang dipercayai terperangkap di kawasan yang dikuasai pemberontak di timur Aleppo sejak laluan utama ke kawasan itu ditutup oleh kerajaan pada awal Julai.

Ahad lalu, pemberontak menyekat akses laluan utama kerajaan ke barat Aleppo selepas insiden pengeboman udara daripada pasukan pro kerajaan.

Memetik BBC News, Unicef berkata, seluruh bandar terputus bekalan air sejak empat hari.

"Kanak-kanak dan keluarga di Aleppo berdepan situasi bencana," kata wakil Unicef di Syria, Hanaa Singer.

"Pemotongan bekalan ketika musim panas terik meletakkan kanak-kanak dengan risiko kematian akibat penyakit bawaan air.

"Mendapatkan air bersih perlu dan tidak boleh menunggu sehingga pertempuran berhenti. Nyawa kanak-kanak ini berada dalam bahaya," ujarnya.

Suhu dicatakan di bandar itu pada minggu ini ialah 40 darjah selsius.

PBB melaung kebimbangan Unicef dan berkata, genjatan senjata sepenuhnya atau 48 jam akan membolehkan mereka membantu mereka yang memerlukan dan menambah stok makanan dan perubatan.

"Sasaran hospital dan klinik terus tanpa henti menjejaskan secara serius kesihatan dan kebajikan semua rakyat Aleppo," kata Penyelaras Residen PBB dan Kemanusian Syria, Yaacub el-Hillo dan Penyelaras Kemanusian Wilayah Krisis Syria, Kevin Kennedy.

Aleppo pernah menjadi pusat komersial terpenting Syria dan terkenal dengan peninggalan sejarah dan seni bina yang kebanyakan musnah sejak perang lebih lima tahun.

No comments:

Post a Comment