Monday 26 September 2016

Aleppo terus dibom



SUKARELAWAN memeriksa kerosakan bangunan di kawasan kejiranan Bustan al-Qasr. - AP



Agensi
Aleppo: Jet Syria dan Russia semalam meneruskan pengeboman di timur bandar raya ini menjelang mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan keganasan yang paling buruk pernah berlaku dalam masa beberapa tahun.

Penduduk dan pemerhati sekali lagi melaporkan serangan besar-besaran di bandar yang dikuasai kumpulan penentang itu malam tadi.

Sekurang-kurangnya 101 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh dalam serangan sejak tentera Syria mengumumkan operasi untuk menawan bandar itu semula Khamis lalu.

Bandar berkenaan dikuasai penentang rejim Bashar al-Assad sejak 2012.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) melaporkan, 17 daripada yang terbunuh adalah kanak-kanak.

Serangan yang dilakukan tentera Syria dengan bantuan pesawat Russia membabitkan penggunaan misil, bom tong dan meriam.

Malam kelmarin, penduduk berkata, bom berangkai menghujani kawasan berkenaan yang didiami kira-kira 250,000 penduduk yang terperangkap akibat kepungan tentera kerajaan.

“Mereka menggugurkan bom itu sepanjang malam hingga ke pagi,” kata Ahmed Hajar, 62, yang ditemui di jalan raya Al-Kalasseh ketika dia keluar untuk mencari makanan.

“Hari ini (semalam) jalan raya di kawasan kejiranan saya penuh dengan bom berangkai. Seorang penduduk terbunuh selepas terpijaknya,” kata lelaki itu.

Di Bab al-Nayrab, kawasan kejiranan berhampiran, Imad Habush terpaksa membakar sendiri roti di dapur di luar rumahnya.

“Tidak ada kedai yang dibuka kerana pengeboman itu. Minyak dan tepung sukar didapati. Ramai yang terpaksa membuat sendiri roti.

“Saya tidak tahu kenapa Bashar (Presiden Syria) mengebom kami dengan kejam. Kami orang awam, tidak ada senjata. Kami terkepung, tidak boleh melarikan diri,” katanya.

Aleppo yang sebelum perang saudara meletus pada 2011, adalah hab ekonomi Syria. Bandar itu musnah dan penguasaannya sejak pertengahan 2012 terbahagi kepada dua - kerajaan menguasai bahagian barat sementara timur dikuasai penentang.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 8:43 AM

No comments:

Post a Comment