Monday 26 September 2016

Aleppo putus bekalan air


26 September 2016 12:20 AM



ALEPPO 25 Sept. - Penduduk Syria yang terperangkap di bandar Aleppo ekoran serangan bertalu-talu tentera kerajaan dan Rusia dalam tempoh 24 jam lalu, memohon bantuan antarabangsa selepas 91 orang dilaporkan terbunuh dalam kempen tentera bagi menawan semula bandar tersebut daripada kumpulan penentang.
Menurut laporan Al Jazeera, dua juta penduduk bandar kedua terbesar di Syria itu juga kini terpaksa hidup tanpa bekalan air.
Seorang penduduk di bahagian utara bandar itu yang enggan dikenali berkata, bedilan berterusan oleh jet pejuang Syria dan Rusia telah memusnahkan kawasan kediaman di situ.
“Kami tidak mempunyai kemudahan dan kelengkapan mencukupi untuk menarik keluar mayat dari bawah runtuhan ba­ngunan. Kami cuba membantu mereka yang cedera dan terselamat tetapi situasi di bandar ini huru-hara.
“Kemusnahan dan kematian berada di sekeliling kami. Nampaknya, Rusia dan tentera kerajaan seperti mendapat ‘lampu hijau’ untuk membunuh kami semua,” katanya sambil menamba, seluruh ahli keluarganya terbunuh dalam serangan semalam.
Sementara itu, seorang profesor di Universiti Aleppo, Abdulkafi al-Hamdo berkata, penduduk Aleppo seakan-akan bakal menghadapi satu lagi serangan terburuk selepas ini.
“Apa yang kami alami tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata. Kami tidak boleh memberi air kepada anak-anak dan pasukan penyelamat sukar meng­hulurkan bantuan.
“Di hospital, terdapat tiga atau empat orang pesakit berkongsi satu katil, termasuk di unit rawatan rapi,” katanya.
Tentera Syria yang disokong oleh unit tentera udara Rusia telah melancarkan serangan terbaharu bagi menawan semula Aleppo, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia, susulan bedilan dari udara oleh tentera pakatan diketuai AS ke atas pos ketenteraan Syria.
Sejak itu, menurut Badan Pemantau Hak Asasi Manusia ke Syria, sekurang-kurangnya 180 orang telah terbunuh di Aleppo termasuk di utara bandar ini yang kini terkepung.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan pertemuan hari ini untuk membincangkan serangan berterusan di Aleppo.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon sebelum ini berkata, beliau terkejut dengan peningkatan serangan di Aleppo, dan memberi amaran bahawa penggunaan senjata canggih di bandar itu boleh mencetuskan jenayah perang.
“Penggunaan senjata canggih seperti di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk menyebabkan berlakunya jenayah perang,” kata Ki-moon dalam satu kenya­taan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya. –AFP/AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-putus-bekalan-air-1.387275#sthash.bH0ieWVW.dpuf

No comments:

Post a Comment