Tuesday 20 September 2016

Gencatan Senjata Syria Berakhir, Konvoi Kemanusiaan Diserang


Diterbitkan: Selasa, 20 September 2016 9:59 AM

DAMSYIK: Gencatan senjata di Syria berakhir pada lewat Isnin apabila tentera kerajaan mengebom kumpulan konvoi misi kemanusiaan yang menyaksikan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh.
Menurut laporan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia di negara itu, dalam kejadian tersebut, jet tempur kerajaan Syria melancarkan berpuluh-puluh serangan udara di Aleppo dan kawasan sekitarnya.
Tambah laporan terbabit, lori-lori yang membawa bantuan kemanusiaan turut dibedil ketika memasuki kawasan pekan Urm al-Kubra, menyebabkan 18 daripada 31 trak musnah.
"Seramai 12 pemandu Kumpulan Palang Merah disahkan terbunuh dalam serangan tersebut," jelas pertubuhan itu dalam kenyataannya.
Sementara itu, Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Staffan de Mistura mengecam serangan udara terbabit yang menjadikan kumpulan misi kemanusiaan dan orang awam sebagai sasaran.
"Kami amat terkejut dengan insiden tersebut.
"Konvoi bantuan itu merupakan harapan untuk membantu orang awam yang terjejas akibat perang," katanya seperti dilaporkan portal Al Jazeera.
Terdahulu, tentera Syria mengisytiharkan gencatan senjata yang berkuatkuasa selama tujuh hari, hasil usaha Rusia dan Amerika Syarikat (AS), berakhir selepas kerajaan dan kumpulan penentang saling berbalah berhubung keganasan yang semakin meningkat.
Tentera Rusia dalam kenyataannya berkata, kumpulan penentang melancarkan serangan besar-besaran ke atas kedudukan tentera kerajaan di kawasan barat laut Aleppo, menyebabkan askar rejim bertindak balas.
"Pihak penentang menggunakan serangan artileri daripada pelancar roket dan kereta kebal dalam serangan tersebu," jelasnya.

No comments:

Post a Comment