Friday 21 October 2016

Lapan laluan untuk tinggalkan Aleppo

Lapan laluan untuk tinggalkan Aleppo | Harian Metro:





SEORANG lelaki berjalan di depan bangunan yang musnah akibat serangan udara di Aleppo. - Reuters







Aleppo (Syria): Gencatan senjata atas sebab kemanusiaan berkuat kuasa semalam tetapi pertempuran masih berlaku di laluan yang dibuka untuk membolehkan orang awam melarikan diri dari Aleppo.



Tentera berkata, ia membuka lapan laluan selamat untuk penduduk yang mahu melarikan diri, tetapi pertempuran berlaku di satu daripadanya.



Dua laluan itu juga boleh digunakan pejuang penentang yang ingin meninggalkan kawasan pertempuran dengan syarat tidak membawa senjata.



Saksi berkata, tembak-menembak berlaku di kawasan itu dan agensi berita Sana mendakwa ia akibat perbuatan ‘kumpulan pengganas.’



Lebih 250,000 orang awam terperangkap di timur bandar itu yang dikuasai penentang kerajaan. Kawasan berkenaan diserang hebat sejak pertengahan Julai oleh tentera udara Russia dan Syria yang dihentikan seketika pada Selasa lalu.



Russia berkata, gencatan itu mungkin dilanjutkan manakala tentera Syria berkata, ia akan dilaksanakan selama tiga hari.



Serangan udara Syria serta Russia dihentikan sejak jam 7 pagi (waktu tempatan), Selasa lalu.



Sementara itu, penduduk mengakui mahu melarikan diri tetapi memerlukan jaminan nyawa mereka tidak diancam.



“Kami perlu pergi kerana bekalan makanan semakin berkurangan dan keadaan terlalu bahaya, namun saya tidak mahu melakukan sesuatu yang mengancam nyawa keluarga,” kata penduduk, Mohammed Shayah.



Sementara itu, di utara Syria, tentera Turki menyerang kawasan pejuang Kurdis yang disokong Amerika Syarikat (AS) menyebabkan kira-kira 200 orang terbunuh.



Komander kanan militia Kurdis Syria mengesahkan jet pejuang dan senjata Turki menyerang pasukannya di utara Aleppo, tetapi mendakwa cuma 10 anggotanya terbunuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 10:58 AM

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment