Sunday 30 October 2016

Rusia gagal kekal dalam UNHRC


30 Oktober 2016 12:16 AM
CAMPUR tangan Rusia dalam konflik Syria mengundang gesaan antarabangsa


CAMPUR tangan Rusia dalam konflik Syria mengundang gesaan antarabangsa supaya Moscow dikeluarkan daripada UNHRC. AFP
NEW YORK 29 Okt. – Rusia gagal mengumpul cukup undi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk dipilih semula sekali gus meneruskan penggal selama tiga tahun dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC).

Moscow kalah dalam pemilihan semula itu kepada Hungary dan Croatia, kekalahan yang didakwa menggambarkan kemarahan antarabangsa dengan pembabitan Rusia di sebalik perang saudara di Syria.

Hungary dan Croatia akan mewakili negara Eropah Timur dalam UNHRC yang dianggotai 47 buah negara.

Kegagalan pencalonan Rusia itu nyata mengejutkan diplomat dan pemerhati yang kebanyakannya percaya Moscow akan kekal bagi satu penggal dalam UNHRC di sebalik rekod mereka di Syria.

Hungary dan Croatia, masing-masing mengumpul 144 undi dari­pada 193 anggota pertubuhan itu sekali gus memenangi dua kerusi yang diperuntukkan untuk negara Eropah Timur dalam majlis tersebut.

Rusia bagaimanapun hanya mendapat 112 undi ketika calon bukan pilihan, Arab Saudi berjaya mempertahankan penggal mereka dalam badan itu.

Baru-baru ini, kumpulan Human Right Watch memberi amaran bahawa Rusia dan Arab Saudi tidak layak untuk berkhidmat dalam UNHRC. – AFP/DPA

No comments:

Post a Comment