Thursday, 3 November 2016

Russia tawar gencatan senjata kali kedua




KANAK-KANAK Syria menghadiri kelas di bilik bawah tanah Sekolah Al-Hayat di pinggir bandar al-Qaboun, timur laut Damsyik yang dikuasai kumpulan penentang. - AFP


Moscow: Presiden Russia, Vladimir Putin semalam menawarkan gencatan senjata kemanusiaan sementara sebelah pihak di timur Aleppo, Syria dan menggesa anggota penentang mengguna kesempatan itu untuk meninggalkan bandar berkenaan.

Kementerian Pertahanan Russia memberitahu, Putin mengarahkan koridor bantuan dibuka pada Jumaat ini dengan tempoh lebih lama, dari jam 9 pagi hingga 7 malam bersama dua laluan keluar baru dari Aleppo bagi mengelak kehilangan nyawa yang sia-sia.

Menurutnya, satu laluan keluar menuju ke sempadan Turki manakala satu lagi menuju ke Idlib.

Ketua Staf Am Russia, Valery Gerasimov pula menggesa semua pemimpin kumpulan penentang menghentikan serangan dan meninggal Aleppo bersama senjata mereka.

Gerasimov berkata, serangan kumpulan penentang terhadap kawasan barat Aleppo yang dikuasai kerajaan minggu lalu gagal memecahkan kepungan di timur bandar itu.

“Mereka tiada peluang untuk memecahkan kepungan di bandar itu,” katanya.

Bagaimanapun, kumpulan penentang di Aleppo menolak tawaran terbaru Russia itu dengan satu kumpulan menganggap ia hanya publisiti media.

Jurucakap kumpulan penentang Nour el-Din el-Zinki, Yasser al-Youssef berkata, Russia tidak serius dan mereka tidak mengambil tahu mengenai tawaran itu.

Katanya, komen pemimpin Russia itu tidak mencerminkan realiti sebenar di bandar itu.

“Kami memerlukan satu suruhanjaya antarabangsa untuk memeriksa penipuan Russia,” katanya.

Timbalan komander kumpulan Fastaqim, Molhem Ekaidi juga menuduh Russia menipu.

“Serangan bom dan jenayah oleh Russia masih berterusan. Pesawat mereka masih belum meninggalkan ruang angkasa Aleppo,” tegasnya. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 11:04 AM

No comments:

Post a Comment