Tuesday, 20 December 2016
Aleppo diselubungi kekejaman
Orang awam tidak berdosa jadi mangsa percaturan kuasa besar dunia
MOWARDI MAHMUD, J. KASTHURI DAN AZUAR FAHMI MOHD. ALI | 19 Disember 2016 12:15 AM
SUATU ketika dahulu Aleppo dengan penduduk sekitar 2.3 juta merupakan sebuah bandar raya terbesar di Syria yang berjaya menambat hati pelancong, bahkan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kini, bandar yang antaranya menempatkan masjid yang hebat pada abad ke-12 dan pasar tertutup Souk kini musnah.
Aleppo menjadi ‘sebuah kubur besar’ kepada nilai kemanusiaan akibat keangkuhan kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Rusia. Masing-masing, tidak segan silu mendabik dada menjadi pejuang kepada kebaikan dalam perang menentang kejahatan.
Kedua-dua bukan apa yang disangka ramai. Contohnya, AS yang lebih berjaya menonjolkan sisi gelap Rusia bukanlah adiwira seperti yang digambarkan bahkan lebih mengutamakan kepentingan diri dan tindakannya hanya untuk mengekang pengaruh dan kuasa musuh tradisinya itu.
Dr. Micheal Scheuer, dalam wawancara dengan penulis buku konflik di Asia Tenggara, Fahmi Faiz, mendakwa negara kuasa besar dunia itu penyokong al-Qaeda (atau kini Daesh), dan dianggap lebih jahat berbanding Presiden Bashar al-Assad. Menurut Scheuer yang pernah berkhidmat dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) selama lebih 20 tahun, al-Qaeda merupakan pembekal sokongan kepada kumpulan pejuang kebebasan yang kebanyakannya kumpulan amatur manakala penglibatan AS dalam Syria adalah kerana pengaruh Israel untuk melestarikan impian The Greater Israel dengan dikelilingi musuh-musuh yang dijinakkan.
Malah pada 2007, Jeneral Wesley Clark, seorang jeneral empat bintang AS yang telah bersara mengakui terdapat gerakan menumbangkan tujuh buah negara dalam masa lima tahun iaitu Iraq, Syria, Lebanon, Libya, Somalia, Sudan dan diakhiri Iran.
Jelas sekali, Syria adalah mangsa percaturan kuasa besar yang tidak sukar untuk dinamakan dalangnya, tidak ubah seperti ‘gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah’. Perang saudara itu juga pertembungan antara fahaman Syiah dan Sunnah yang gagal didamaikan oleh dunia Islam tetapi digunakan kuasa asing sebagai senjata melemahkan Islam.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula terperangkap dalam keadaan tidak mampu berbuat apa-apa. Nasib penduduk di Syria terus tidak terbela malah sekadar menjadi satu lagi peristiwa dalam lipatan sejarah dunia untuk diingati satu masa nanti.
Pada masa sama, tangan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon juga terikat sekadar mampu mengungkapkan keadaan di bandar Aleppo bagaikan ‘neraka dunia’.
Sebenarnya, apa yang berlaku tidak mampu untuk digambarkan lagi, sudah lebih daripada meruncing.
Gencatan senjata yang dilakukan kini terhenti dan belum lagi diteruskan semula dengan penduduk awam diibaratkan seperti menghitung saat kematian. Ketika ini, lebih 9,000 daripada 50,000 berjaya dikeluarkan daripada Aleppo untuk dipindah ke kawasan dikuasai pejuang iaitu Idlib, yang berdepan pelbagai kekurangan makanan dan perubatan.
Rusia pula ‘bersandiwara’ apabila mengatakan pemindahan orang awam hanya melibatkan pemberontak telah selesai manakala Syria yang dibantu Iran berfahaman Syiah pula mendakwa sebaliknya. Apa yang berlaku ini memberikan tanggapan wujudnya muslihat.
Bagaimanakah nasib puluhan ribu orang awam, kebanyakan berfahaman Sunni yang belum sempat dikeluarkan daripada bandar yang musnah akibat perang saudara itu termasuk mereka yang cedera, orang tua dan kanak-kanak.
Bilangan mereka yang masih terperangkap itu dikatakan tidak termasuk lebih 37,000 orang yang telah keluar mendapat perlindungan di barat Aleppo atau kawasan pinggir bandar. Malah, terdapat sekurang-kurangnya 14,700 orang lagi terpaksa berhimpit di dalam rumah-rumah perlindungan termasuk di kilang pembuatan kapas dalam suasana musim sejuk yang menambahkan kesengsaraan mereka.
Tanpa bantuan yang disalurkan, mereka bagaikan menunggu kematian apabila kebanyakan hospital yang besar sudah hancur. Cuma yang tinggal beberapa klinik yang beroperasi secara ‘haram’. Soalnya, dapatkah mereka meneruskan hidup tanpa bantuan perubatan dan makanan?
Malang sekali, pemimpin dunia Islam ‘membisu’ untuk bertindak tegas dan menghulurkan bantuan yang diharapkan.
Tanpa tindakan segera yang bersepadu, kita akan sekadar mengulangi satu lagi bencana kemanusiaan seperti mana di Bosnia.
Biarpun ‘pokok pisang sememangnya tidak berbuah dua kali’ tetapi kegagalan untuk menyelamatkan orang awam yang terperangkap di Aleppo bagaikan mengundang berulangnya pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica ketika Perang Bosnia 1995.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aleppo-diselubungi-kekejaman-1.421476#sthash.xzv82lyD.dpuf
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment