Wednesday 20 July 2016

Turki tahan 103 jeneral, laksamana

Kosmo! Online - Dunia:







REUTERS - SALAH seorang komander pangkalan tentera udara Incirlik, Jeneral Bekir Ercan Van (tengah) dibawa ke bangunan mahkamah di Adana, Turki semalam.



















ISTANBUL – Pasukan keselamatan Turki semalam menjalankan serbuan terbaharu terhadap suspek komplot rampasan kuasa yang gagal menggulingkan pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika kebimbangan antarabangsa meningkat berhubung tindakan balas itu.



Pihak berkuasa berkata, sekitar 7,500 orang ditahan setakat semalam dalam siasatan mengenai rampasan kuasa pada Jumaat lalu yang menurut Erdogan, dilakukan oleh musuh ketatnya, pendakwah yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen.



Agensi berita Anadolu melaporkan, unit khas anti-pengganas di Istanbul menyerbu akademi tentera udara di kota itu awal pagi semalam dalam usaha mencari suspek baharu.



Menurut Anadolu, seramai 1,800 anggota pasukan elit polis telah dikerahkan dari wilayah sekitarnya untuk memastikan keselamatan di Istanbul.



Dalam pada itu, pihak berkuasa turut menahan Jeneral Mehmet Disli yang menjalankan operasi untuk menangkap ketua tentera, Hulusi Akar Turki ketika rampasan kuasa berlaku, kata seorang pegawai.



Laporan media tempatan menyatakan, seramai 103 jeneral dan laksamana telah ditahan setakat ini. Agensi berita Dogan melaporkan semalam bahawa 10 daripada mereka kini ditahan reman oleh mahkamah.



Selain itu, pihak berkuasa turut menyingkirkan seramai 9,000 anggota dan pegawai polis di seluruh Turki termasuk di Istanbul dan ibu kotanya, Ankara kerana disyaki terlibat dalam cubaan rampasan kuasa pada Jumaat lalu.



Terdahulu, Erdogan menggesa rakyat Turki untuk terus berada di jalan-jalan raya walaupun rampasan kuasa itu berakhir. Pihak berkuasa membayangkan kehadiran rakyat sebagai langkah berjaga-jaga dan usa­ha untuk mengekalkan demokrasi.



Seorang koresponden agensi berita AFP berkata, perhimpunan menyokong Erdogan terus diadakan di seluruh negara sepanjang malam kelmarin.



Seramai 11 anggota tentera yang disyaki terlibat dalam rampasan kuasa telah ditahan di Lapangan Terbang Sabiha Gocken di sini.



Sementara itu pemimpin dunia termasuk Presiden AS, Barack Obama dan Canselor Jerman, Angela Merkel menggesa Turki supaya mematuhi peruntukan undang-undang ketika melancarkan operasi mematahkan rampasan kuasa itu. – AFP







Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0719&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4ExFQVqTI

Hakcipta terpelihara

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment