Tuesday 23 April 2013

Tentera Syria bunuh 85 orang



Gambar diambil daripada sedutan video yang dimuat naik di laman media sosial, menunjukkan mayat-mayat penduduk Syria ditutup dengan kain hitam, selepas tentera kerajaan dikatakan menyerang Jdeidet al-Fadel, pinggir bandar Damsyik, kelmarin. - Reuters
AMMAN 22 April - Tentera Syria dan penyokong setia Presiden Bashar al-Assad dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 85 orang ketika menyerang pinggir bandar Damsyik selepas lima hari, menurut aktivis pembangkang semalam.
Namun, setakat ini belum ada pengesahan tentang dakwaan aktivis itu yang turut menyifatkan kejadian di Jdeidet al-Fadel itu sebagai 'pembunuhan beramai-ramai', termasuk kanak-kanak dan wanita.
Agensi berita Syria, SANA melaporkan, tentera 'menyebabkan kekalahan besar di pihak pemberontak' di Jdeidet al-Fadel dan telah memusnahkan senjata dan membunuh ramai pemberontak.
Jamal al-Golani, anggota kumpulan pemberontak daripada Majlis Kepemimpinan Revolusi berkata, angka korban mungkin melebihi 250 orang dengan kebanyakan mangsa ditembak dari jarak dekat.
"Jdeidet al-Fadel telah musnah akibat serangan tentera sejak hari pertama lagi ekoran kawasan itu telah dikepung oleh tentera.
"Boleh dikatakan hampir tidak ada kecederaan berlaku ekoran semua mangsa ditembak di tempat kejadian. Pembunuhan berlaku beberapa hari ketika tentera menyerang satu kawasan yang dipertahankan oleh 270 pemberontak.
"Mengikut pengiraan saya, sebanyak 98 mayat terbaring di jalan raya dengan 86 daripada mereka dibunuh di dalam klinik sementara, tempat mangsa dirawat akibat cedera," katanya.
Sementara itu, seorang aktivis di daerah berhampiran Jdeidet Artouz, Abu Ahmad al-Rabi berkata, mereka menemui 85 mayat, termasuk 28 daripadanya di dalam klinik sementara selepas tentera Assad memasuki Jdeidet al-Fadel.
"Kami bimbang angka korban mungkin lebih tinggi," ujarnya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130423/lu_07/Tentera-Syria-bunuh-85-orang#ixzz2REsCaqh7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment