Friday 17 May 2013

Barisan Nusra bunuh 11 askar Syria



Imej diambil dari sedutan video yang dimuat naik ke YouTube semalam, menunjukkan seorang anggota kumpulan pemberontak Barisan Nusra menembak tentera Syria di lokasi yang tidak dinyatakan. - AFP
BEIRUT 16 Mei - Anggota kumpulan pemberontak Barisan Nusra yang dikaitkan dengan militan al-Qaeda, membunuh 11 orang askar Syria, berdasarkan satu rakaman video yang disiarkan, semalam.
Dalam video tersebut, seorang lelaki yang memakai topeng menembak mangsa yang sedang melutut dan matanya ditutup.
Kejadian berkenaan dipercayai berlaku di Deir al-Zor, wilayah utara Syria berdasarkan ucapan lelaki itu dalam video tersebut.
“Mahkamah Syariah di wilayah Deir al-Zor menjatuhi hukuman mati ke atas tentera pengkhianat (kerajaan) yang membunuh saudara dan keluarga kita di Syria," jelas lelaki berkenaan.
Beberapa anggota kumpulan Barisan Nusra yang membelakangi bendera hitam, turut melaungkan ‘Allahu Akbar (Allah Maha Besar) setiap kali askar terbabit ditembak.
Malah penembak tersebut turut melepaskan tembakan berulang-ulang kali ke arah beberapa askar untuk memastikan mangsa mati.
Rakaman terbaharu itu merupakan video yang kedua disiarkan oleh Barisan Nusra dalam tempoh dua hari.
Kelmarin, satu rakaman video disiarkan dalam Internet oleh kumpulan berkenaan di wilayah Raqqa yang dikuasai kumpulan pemberontak.
Video itu menunjukkan tiga lelaki yang ditutup mata ditembak di bahagian kepala.
Seorang lelaki dalam video itu berkata, hukuman terhadap tiga lelaki tersebut merupakan tindakan balas dendam ke atas pembunuhan orang awam di pekan Banias dua minggu lalu.
Dalam kejadian di Banias, rakaman video dan foto merakamkan berpuluh-puluh mayat dalam keadaan cacat ditemui bergelimpangan di jalan, kebanyakannya mayat kanak-kanak. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130517/lu_02/Barisan-Nusra-bunuh-11-askar-Syria#ixzz2TVUK3o4f
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment