Thursday, 9 May 2013

Rusia, AS capai kata sepakat isu Syria



MOSCOW 8 Mei - Selepas beberapa bulan tidak mencapai kata sepakat, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) akhirnya bersetuju memberi tekanan kepada Syria bagi menamatkan konflik berdarah di negara itu dengan menawarkan untuk mengadakan satu persidangan antarabangsa dalam usaha mencari kedamaian.
Pemberontak Syria pada masa sama mengumumkan mereka menahan empat anggota pengaman Filipina di Golan Height, kali kedua dalam dua bulan selepas askar pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diculik di zon gencatan senjata Syria-Israel itu.
Setiausaha Negara AS, John Kerry semalam buat pertama kali mengadakan pertemuan lebih daripada dua jam dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan kemudian bertemu Menteri Luarnya, Sergei Lavrov selama tiga jam.
"Kami bersetuju bahawa Rusia dan AS perlu menggalakkan kerajaan dan pemberontak Syria untuk mencari penyelesaian politik,'' kata Lavrov dalam sidang akhbar malam tadi.
Lavrov dan Kerry berkata, mereka berharap dapat mengadakan satu persidangan antarabangsa pada penghujung Mei ini untuk melaksanakan perjanjian Geneva bagi mencari penyelesaian damai di Syria yang dicapai pada Jun tahun lepas.
Washington yang sebelum ini menegaskan Presiden Syria, Bashar al-Assad perlu berundur bagi mencapai kedamaian, dilihat melembutkan pendirian tersebut apabila Kerry berkata, hanya kerajaan Syria dan pemberontak boleh menentukan kerajaan peralihan bagi mencapai keamanan di negara itu.
"Adalah mustahil bagi saya sebagai seorang individu untuk memahami bagaimana Syria boleh ditadbir oleh seorang lelaki yang telah melakukan pelbagai kesilapan.
"Namun, saya tidak akan membuat keputusan malam ini dan saya juga tidak akan terlibat dalam perkara itu apabila konflik ini sudah berakhir,'' katanya.
Rusia sebelum ini menuduh negara-negara Barat memburukkan konflik Syria apabila cuba menggulingkan Assad.
AS dan negara Barat lain pula menuduh Rusia gagal menggunakan pengaruhnya untuk menghentikan pertumpahan darah dan meneruskan penghantaran bekalan ketenteraan kepada Assad. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130509/lu_04/Rusia-AS-capai-kata-sepakat-isu-Syria#ixzz2SlQMwXD3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment