Friday 3 May 2013

Sampel darah mangsa diuji



ANKARA 2 Mei - Turki dilaporkan menguji sampel darah daripada mangsa-mangsa konflik Syria yang dibawa ke negara ini sejak beberapa hari lalu bagi menentukan sama ada mereka merupakan mangsa serangan senjata kimia.
Agensi berita al-Arabiya melaporkan, kerajaan tempatan dan pegawai perubatan semalam berkata, sampel dihantar ke institut forensik Turki selepas beberapa rakyat Syria yang mengalami kesukaran bernafas dibawa ke hospital di bandar Reyhanli di daerah Hatay, Turki yang bersempadan dengan Syria.
''Kami mengambil tindakan berjaga-jaga selepas kami menerima maklumat penggunaan senjata kimia, namun maklumat ini masih belum dapat disahkan.
''Setakat ini, saya masih belum menerima pengesahan daripada institusi perubatan, namun terdapat kemungkinan senjata tersebut digunakan dan kami akan mengambil langkah sewajarnya,'' kata Datuk Bandar Reyhanli, Huseyin Sanverdi kepada Reuters.
Huseyin berkata, mangsa-mangsa berkenaan dibawa dari Idlib, utara Syria ke hospital tersebut pada awal minggu ini.
''Hospital Reyhanli telah mengambil tindakan kecemasan pada awal minggu ini selepas menerima pesakit tersebut, namun sekarang pendekatan tersebut telah dibatalkan,'' katanya.
Konflik berdarah di Syria kini memasuki tahun ketiga dengan jumlah kematian meningkat pada bulan lepas apabila pasukan keselamatan Syria cuba mengundurkan kemaraan pemberontak.
Sebanyak 70,000 orang kini dilaporkan terbunuh dalam konflik tersebut.
Kedua-dua pihak, masing-masing bertelagah menuduh menggunakan senjata kimia dalam serangan di Saraqeb, Idlib pada awal minggu ini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130503/lu_06/Sampel-darah-mangsa-diuji#ixzz2SBEAbkPx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment