DAMSYIK 2 Jun - Pertubuhan-pertubuhan bantuan meningkatkan gesaan supaya usaha dilakukan segera untuk memindahkan penduduk awam yang terperangkap di bandar Qusayr di barat Syria, ketika pemberontak melancarkan serangan terbaharu ke atas tentera Syria, hari ini.
Agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah Antarabangsa merayu supaya kedua-dua pihak yang bertempur membenarkan orang awam, termasuk 1,500 mangsa yang cedera, meninggalkan bandar yang menjadi lokasi pertempuran itu.
Menurut pemerhati, pertempuran sengit berlaku antara pemberontak dan tentera Syria yang mendapat sokongan daripada pergerakan Hezbollah, di utara bandar itu, semalam.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut menggesa kedua-dua pihak membenarkan orang awam meninggalkan bandar itu serta penyelaras bantuan dan gencatan senjata dilakukan bagi membolehkan pemindahan itu dibuat.
Pengarah Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman berkata, pemberontak menggunakan keupayaan mereka sepenuhnya untuk bertempur di bandar itu.
"Tentera Syria turut diperkuatkan di utara bandar Qusayr, termasuk di lapangan terbang Dabaa dan Jawadiya," katanya.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 15 kereta kebal berada di utara Qusayr, bandar yang menjadi perebutan antara kedua-dua pihak ekoran ia menjadi penghubung Damsyik dengan laut dan berhampiran sempadan Lebanon.
Bandar itu telah menjadi lokasi pertempuran sengit antara pemberontak dan tentera Syria sejak beberapa minggu lalu. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130603/lu_06/PBB-gesa-pindah-penduduk-awam-dari-Qusayr#ixzz2VChBRfj7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment