Wednesday 31 July 2013

Tujuh sekeluarga maut dalam insiden bom di Homs


Beirut: Satu keluarga membabitkan tujuh orang terbunuh dalam pengeboman di sebuah perkampungan di luar Homs semalam, hanya beberapa hari selepas mereka melarikan diri daripada tentera Syria yang menguasai semula sebahagian kawasan berkenaan.

Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, daripada tujuh sekeluarga itu, empat adalah kanak-kanak.


Kata pertubuhan berpangkalan di Britain itu, mereka maut akibat serangan udara tentera Presiden Bashar al-Assad di bandar Teir Maaleh.

Kematian itu berlaku ketika tentera rejim meningkatkan serangan di saki-baki daerah dikuasai puak penentang, didorong oleh kejayaan mereka menguasai semula kawasan kejiranan Khaldiyeh kelmarin.


Sementara itu, puak penentang menembak jatuh helikopter tentera dengan misil darat ke udara dekat lapangan terbang Damsyik, manakala bom kereta membunuh ahli politik Kurdis di timur laut.


Kumpulan itu berkata, mereka menerima bekalan senjata antipesawat beberapa minggu lalu daripada agensi kerajaan yang ingin membantu mereka mematahkan penguasaan udara rejim Bashar al-Assad. Pertubuhan itu berkata, di Anadan, utara Aleppo lima kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara di situ.

Sementara itu, di luar Damsyik, kira-kira 10 anggota penentang terbunuh dalam pertempuran di kawasan berdektan Moadamiyet al-Sham, di mana anggota tentera cuba mengambil alih penguasaan. - AFP

No comments:

Post a Comment