Wednesday 31 July 2013

Homs bagai di Zaman Batu

Homs bagai di Zaman Batu
Homs bagai di Zaman Batu Bahagian luar Masjid Khaled Walid sebelum tercetusnya pergolakan.

KEMUSNAHAN demi kemusnahan terpamer jelas di seluruh bandar Homs iaitu bandar ketiga paling besar di Syria selepas pergolakan menggulingkan Presiden Bashar al-Assad sejak pertengahan Mac 2011.

Menurut laporan MailOnline, bangunan kerajaan, kediaman, kemudahan awam dan jalan raya menjadi mangsa keadaan susulan ditembusi mortar, bom dan peluru ketika pertempuran antara tentera Bashar dan pasukan Tentera Pembebasan Syria (FSA).

Homs yang dahulunya dihuni lebih 650,000 orang, kini sunyi sepi selepas majoriti penduduknya melarikan diri dan lebih 10,000 lagi terbunuh.

Sekumpulan aktivis memberanikan diri memasuki daerah Khaldiyeh dan merakamkan gambar sejurus pasukan ketenteraan kerajaan berjaya menawan semula bandar kecil dalam Homs itu dari tangan kumpulan pemberontak.

Kini, pasukan ketenteraan Syria giat melancarkan serangan balas menawan semula wilayah yang pernah di rampas pemberontak termasuk Damsyik.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 100,000 orang dilaporkan terbunuh di seluruh Syria dan hampir 2 juta menjadi pelarian di negara jiran.

Sementara itu, kumpulan aktivis hak asasi kemanusiaan berpangkalan di Britain menafikan dakwaan bahawa pasukan ketenteraan Bashar telah menawan kesemua daerah termasuk di Khaldiyeh. "Masih ada pertempuran antara askar kerajaan yang dibantu kumpulan Hizbullah dengan FSA di Khaldiyeh dan kawasan selatan Homs," kata aktivis.

Pengarah Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria, Rami Abdul Rahman pula berkata, tentera kerajaan telah menawan beberapa daerah selain pertempuran di kawasan selatan.

Bagaimanapun, FSA dan militan dilaporkan telah menawan penuh wilayah Aleppo dan bandar strategik, Khan el-Assal pada minggu lalu.

No comments:

Post a Comment