Friday 2 August 2013

Israel dijangka serang Syria lagi

WASHINGTON 2 Ogos - Israel dijangka melancarkan serangan udara terbaharu ke atas Syria selepas bedilan ke atas gudang senjata di negara itu, baru-baru ini gagal memusnahkan semua peluru berpandu antikapal buatan Rusia yang disimpan di sana, lapor akhbar New York Times, semalam.
Pesawat pejuang Israel menyerang sebuah gudang berdekatan Latakia pada 5 Julai lalu di mana peluru berpandu Yakhont dipercayai disimpan.
Media Israel sehari kemudian, menyiarkan imej satelit memaparkan kawasan gudang itu yang mengalami kerosakan, namun masih ada beberapa buah bilik stor tidak musnah semuanya.
"Analisis perisikan Amerika Syarikat (AS) kini menyimpulkan, sekurang-kurangnya beberapa Yakhont dipindahkan dari pelancar dan gudang tersebut sebelum serangan berkenaan dilancarkan,'' lapor New York Times.
Menurut laporan risikan AS, ekoran serangan udara tersebut, tentera Syria bertindak membakar pelancar dan kenderaan di kawasan kejadian bagi mewujudkan tanggapan semua peluru berpandu tersebut dimusnahkan.
Laporan itu menyatakan bahawa serangan itu dilakukan sebuah pesawat pejuang Israel yang terbang di Laut Mediterranean sebelum melancarkan peluru berpandu udara ke darat dan tidak memasuki ruang udara Syria.
Israel kini memantau strategi dan taktikal senjata Syria bagi memastikan ia tidak jatuh ke tangan Hezbollah.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 40 orang maut, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera apabila sebuah gudang simpanan senjata meletup ekoran serangan roket kumpulan pemberontak di bandar Homs, Syria semalam.
Menurut pihak berkuasa, kumpulan pemberontak melancarkan kira-kira 10 serangan roket ke arah sebuah kawasan penempatan dan stadium berhampiran.
Letupan kuat itu mencetuskan bebola api ke udara dan menyebabkan banyak kemusnahan infrastruktur, selain menimbulkan panik dalam kalangan penduduk sekitar. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130803/lu_04/Israel-dijangka-serang-Syria-lagi#ixzz2b05ufd1r
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment