Tuesday 6 August 2013

Kanak-kanak antara mangsa peluru balistik - HRW


Gambar fail bertarikh 11 Mac lalu, menunjukkan seorang lelaki mendukung kanak-kanak lelaki yang cedera parah akibat pertempuran antara tentera kerajaan dan anggota Tentera Pembebasan Syria di Idlib, utara Syria. - AGENSI
BEIRUT 5 Ogos - Peluru balistik yang digunakan oleh tentera Syria menyebabkan banyak orang awam terbunuh, termasuk kanak-kanak, menurut Human Rights Watch (HRW) hari ini.
Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa itu telah menyiasat sembilan serangan peluru berpandu oleh tentera Presiden Bashar al-Assad yang mengorbankan sekurang-kurangnya 215 orang dalam tempoh hanya enam bulan.
HRW memaklumkan, serangan peluru berpandu mengenai kawasan penempatan dan menyebabkan sejumlah besar orang awam maut, termasuk ramai kanak-kanak.
Jelas badan itu yang melawat tujuh kawasan kejadian, 100 kanak-kanak merupakan antara yang maut dalam kejadian dari Februari hingga bulan lalu.
Penggunaan peluru berpandu balistik disifatkan oleh kumpulan itu sebagai menyebabkan kemusnahan besar dan tidak dapat membezakan antara orang awam atau sasaran serangan.
Kumpulan yang beribu pejabat di New York itu menyatakan, tentera tidak sepatutnya menggunakan peluru berpandu jenis itu di kawasan yang menempatkan ramai orang awam kerana perbuatan tersebut dengan serius melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Sementara itu, Assad dalam ucapan terbaharunya di televisyen Syria semalam berkata, krisis di Syria hanya boleh diselesaikan dengan menghapuskan pemberontak.
Beliau turut menyifatkan kumpulan politik pemberontak sebagai 'gagal' dan tidak dapat memainkan peranan dalam menyelesaikan perang saudara di negara ini.
"Tidak ada penyelesaian yang akan dicapai dengan pemberontak kecuali menyerang mereka dengan habis-habisan. Saya tidak fikir seorang manusia yang normal yang akan menganggap keganasan boleh diselesaikan dengan politik.
"Mungkin peranan politik boleh dimainkan ketika keganasan masih di peringkat awal," katanya dalam ucapan yang jarang dilakukannya itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130806/lu_09/Kanak-kanak-antara-mangsa-peluru-balistik---HRW#ixzz2bBrGXKYd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment