Wednesday 7 August 2013

Penentang tawan pangkalan udara


Damsyik: Pejuang antikerajaan mencatat kejayaan besar dengan menguasai sebuah pangkalan udara penting di wilayah Aleppo semalam dan menguasai beberapa perkampungan di wilayah kubu kuat Presiden Bashar al-Assad, Latakia.

Kejayaan itu dicapai selepas mereka mengalami kejatuhan beberapa bulan lalu di tangan tentera rejim di bandar Homs dan Qusayr di wilayah Homs.


Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata kumpulan Negara Islam Iraq Dan Syria serta pembangkang lain menguasai sepenuhnya Pangkalan Udara Minnigh pada subuh semalam (waktu tempatan).

Pertubuhan itu berkata, kejayaan di Latakia dan Aleppo banyak disumbangkan oleh kerjasama di antara pejuang dan kumpulan pemberontak setempat walaupun selama ini mereka sering bertelagah meskipun berkongsi matlamat mahu menggulingkan Bashar. Stesen televisyen kerajaan pula melaporkan tentera yang setia kepada Bashar masih meneruskan penentangan mereka untuk merampas semula kawasan itu. Terdahulu media negara mendakwa lapangan terbang itu “kosong dan tidak digunakan.” Sejurus kemudian mereka melaporkan bahawa “perwira negara sedang berjuang melawan pengganas di Minnigh dan kawasan sekitarnya.” Penganalisis berkata pejuang antikerajaan cuba membersihkan utara Syria daripada penguasaan rejim Bashar walaupun pada masa sama kumpulan terbabit cuba diusir dari tengah negara berkenaan. Ia mungkin menjadi petanda bahawa Syria bakal berpecah kepada wilayah yang dikuasai rejim Bashar dan penentangnya.


Puak Kurdis sendiri cuba menubuhkan wilayah autonomi di utara Syria. - AFP

No comments:

Post a Comment