Friday 20 September 2013

Laporan senjata kimia PBB tidak munasabah - Assad


DAMSYIK 19 Sept. - Presiden Syria, Bashar al-Assad berkata, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang penemuan 'bukti yang jelas dan menyakinkan' bahawa tentera Syria menggunakan senjata kimia adalah tidak 'munasabah'.
Assad sekali lagi turut menafikan penglibatan tentera Syria dalam serangan di pinggir bandar Damsyik itu pada bulan lalu dan menuduh kumpulan penentang yang melakukannya.
Katanya, bukti bahawa kumpulan penentang menggunakan gas sarin telah diserahkan kepada Rusia dan Moscow melalui satu daripada satelitnya, turut membuktikan bahawa roket dalam serangan pada 21 Ogos itu dilancarkan dari kawasan lain.
Meskipun laporan oleh PBB tidak menuduh mana-mana pihak, tetapi kebanyakan pakar menyifatkan keputusan itu memberi petunjuk bahawa serangan tersebut dilakukan oleh tentera Assad.
"Keseluruhan cerita tidak didedahkan. Kami tidak menggunakan senjata kimia di Ghouta," katanya dalam wawancara bersama Fox News Channel di Damsyik yang disiarkan semalam.
Assad dalam pada itu berkata, beliau dan kerajaan pimpinannya akan mematuhi perjanjian yang dicapai dengan pegawai Rusia dan Amerika Syarikat berhubung penyerahan senjata kimia negara ini.
"Saya juga telah menerima laporan anggaran pemusnahan bekalan senjata itu yang memerlukan AS$1 bilion (RM3.16 bilion) dan memakan masa kira-kira setahun.
"Kami komited mematuhi perjanjian itu dan bersedia untuk mengadakan rundingan dengan pakar tentang aspek teknikal serta menyediakan senarai senjata dan memberi kebenaran kepada mereka untuk memeriksanya," kata Assad. - AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130920/lu_07/Laporan-senjata-kimia-PBB-tidak-munasabah---Assad#ixzz2fNoE788F
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment