Friday 20 September 2013

Pilihan serang Syria kekal

New York: Setiausaha Agung Nato semalam menggesa supaya pilihan untuk melancarkan serangan atau operasi serupa terhadap Syria perlu dikekalkan sebagai jalan untuk menangani perang saudara di negara itu.
Anders Rasmussen mengalu-alukan persetujuan Amerika Syarikat dan Russia berhubung penghapusan senjata kimia Syria tetapi berkata, adalah penting untuk mengekalkan momentum proses diplomatik dan politik dengan mengekalkan rancangan tindakan ketenteraan.
“Saya berpendapat, apa juga hasil perbahasan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pilihan tindakan ketenteraan tidak boleh digugurkan,” katanya.

Satu deraf Majlis Keselamatan PBB yang dalam perbincangan di New York membuka laluan bagi penggunaan kekerasan jika Syria berdegil.
Foto
MURID sekolah di Syria menabik sambil mendengar lagu kebangsaan negara itu sebelum memasuki kelas masing-masing di Sekolah Hassan Shuaib di Damsyik, semalam.

Russia dijangka membantah syarat ini.

Rasmussen juga berkata, Syria tidak boleh diragui lagi bertanggungjawab terhadap dalam serangan gas sarin 21 Ogos lalu yang menurut Amerika Syarikat membunuh lebih 1,400 orang.

Beliau menolak dakwaan kerajaan Syria dan Moscow bahawa penentang rejim Presiden Bashar al-Assad melakukan serangan itu.

“Tidak masuk akal bagi kumpulan penentang untuk membunuh penduduk di kawasan yang mereka sudah kuasai dengan senjata kimia.

“Peluru berpandu dengan gas sarin itu dilancarkan dari kawasan yang dikuasai kerajaan,” katanya.

Sementara itu, laporan AP memetik Bashar sebagai berkata, tenteranya tidak pernah menggunakan senjata kimia.

Dalam wawancara dengan stesen televisyen Fox, pemimpin Syria itu menyifatkan laporan hasil siasatan PBB yang menunjukkan kerajaannya mengguna senjata itu sebagai karut.

Menurutnya, kumpulan penentang sepatutnya dipersalahkan.

“Bukti kumpulan penentang menggunakan senjata itu sudah diserahkan kepada Russia dan satu daripada satelit Russia mempunyai bukti bahawa roket membawa gas sarin dilancarkan dari kawasan lain yang dikuasai penentang,” katanya. - Reuters

No comments:

Post a Comment