Sunday 8 September 2013

Penyokong Bashar ugut tingkatkan serangan siber

SAN FRANCISCO - Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengulangi amarannya kelmarin bahawa sekumpulan penggodam yang setia kepada rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad akan memperhebatkan serangan siber.
Mereka dipercayai akan menyerang sistem internet media dan kerajaan di Amerika Syarikat (AS).
Menurut FBI, serangan tersebut ekoran kecenderungan AS untuk melancarkan serangan udara ke atas Syria.
Amaran itu dikeluarkan berdasarkan pesanan e-mel mengenainya yang diterima oleh beberapa rangkaian perniagaan di AS.
"Serangan itu didalangi kumpulan yang menamakan diri mereka Tentera Elektronik Syria," menurut FBI dalam satu kenyataan agensi berkenaan.
"Mereka handal dalam menggodam pelbagai rangkaian media seperti akhbar dalam talian dan stesen televisyen," tambah kenyataan tersebut.
Sebelum ini, laman web akhbar New York Times dan sebuah akaun Twitter Associated Press terpaksa ditutup selama beberapa jam selepas digodam kumpulan itu.
Seorang jurucakap FBI mengesahkan bahawa amaran itu adalah sahih tetapi beliau enggan menerangkan secara terperinci mengenainya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2eGBz1jw5 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment