Sunday 8 September 2013

Eropah gesa AS tunggu laporan PBB sebelum serang Syria

AP
GAMBAR yang dirakam oleh aktivis anti-Bashar di Damsyik menunjukkan mayat kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan kimia pada 21 Ogos lalu.


VILNIUS, Lithuania - Menteri-Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) semalam menyokong 'tindak balas yang keras dan jelas' berhubung serangan senjata kimia yang dipercayai dilakukan oleh pemerintah Syria.
Namun, EU menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya menangguhkan tindakan ketenteraan sehingga pakar-pakar senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan hasil penemuan mereka.
Kenyataan para menteri luar tersebut disambut baik oleh Setiausaha Negara AS, John Kerry yang sebelum ini cuba memberikan alasan kukuh untuk menyerang Damsyik.
Senada dengan Kerry, Presiden Barack Obama turut meminta Kongres AS meluluskan penggunaan kekerasan bagi menghukum rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Kedua-dua Dewan Kongres dan Senat AS dijangka mengundi berhubung rancangan Obama itu menjelang 16 September depan.
Dalam pada itu, satu kenyataan yang dibaca pada penghujung mesyuarat berkenaan oleh ketua dasar luar EU, Catherine Ashton menyatakan, serangan pada 21 Ogos lalu itu melanggar undang-undang antarabangsa selain merupakan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.
Menurut kenyataan EU, maklumat daripada pelbagai sumber mengesahkan bahawa serangan senjata kimia itu dilakukan oleh rejim Bashar.
Tambahnya, ini berikutan 'hanya pihak berkenaan (rejim Bashar) yang memiliki senjata kimia dan berupaya menggunakannya dalam jumlah yang mencukupi'.
"Sehubungan itu, tindak balas yang jelas dan keras penting supaya jelas bahawa jenayah tersebut tidak boleh diterima dan pihak bertanggung jawab tidak akan dibiar terlepas," tambah kenyataan EU.
AS sebelum ini menuduh rejim Bashar sebagai bertanggung jawab melancarkan serangan di pinggir bandar raya Damsyik itu.
Memetik beberapa laporan perisikan, Washington menyatakan, gas saraf Sarin telah digunakan dalam serangan tidak berperikemanusiaan itu.
AS menyatakan, seramai 1,429 orang termasuk 426 kanak-kanak terbunuh dalam insiden tersebut. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2eG9B3y4e 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment