Sunday 15 September 2013

Syria letak senjata kimia di banyak tempat


WASHINGTON 13 Sept. - Sebuah unit elit tentera Syria yang mengendalikan program senjata kimia kerajaan didakwa sedang meletakkan secara rawak senjata berkenaan di berpuluh-puluh tempat di negara itu, yang berpotensi menyukarkan rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk melancarkan serangan udara.
Akhbar Wall Street Journal yang memetik kenyataan seorang pegawai AS dan anggota Kongres yang tidak dikenali dalam laman web itu semalam berkata, kumpulan tentera rahsia yang dikenali sebagai Unit 450 telah memindahkan simpanan senjata itu sejak berbulan-bulan lalu bagi mengelak ia daripada dikesan.
Menurut akhbar itu, agensi perisikan AS dan Israel serta pegawai Asia Barat masih percaya mereka mengetahui lokasi kebanyakan bekalan senjata kimia kerajaan itu.
''Namun, tidak banyak yang kami ketahui berbanding apa yang kami ketahui enam bulan lalu tentang lokasi senjata kimia itu,'' kata seorang pegawai yang dipetik sebagai berkata.
Dalam perkembangan berasingan di Geneva, Setiausaha Negara AS, John Kerry dan rakan sejawatnya dari Rusia Sergei Lavrov akan membincangkan satu tempoh sesuai untuk memusnahkan senjata kimia Syria dalam perbincangan yang masuk hari kedua di sini.
Bagaimanapun menurut sumber yang tidak mahu dikenali, kedua pemimpin itu perlu terlebih dahulu mengetepikan perbezaan tentang isu Syria selepas gagal untuk bersetuju tentang beberapa perkara pada hari pertama perbincangan.
Ketika Kerry dan Lavrov memulakan perbincangan mereka semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan di New York bahawa Syria telah memohon untuk menyertai Konvensyen Senjata Kimia, perjanjian yang mewajibkan anggotanya menyerahkan senjata kimia.
AS mahu rancangan pelucutan senjata kimia itu disertakan dengan ancaman tindakan kekerasan, yang terkandung dalam resolusi Majlis Keselamatan PBB, sekiranya Presiden Syria, Bashar al-Assad tidak menunaikan janjinya namun cadangan itu ditentang Rusia. - REUTERS/DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130914/lu_08/Syria-letak-senjata-kimia-di-banyak-tempat#ixzz2evouFI8B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment