Saturday 12 October 2013

Bahaya senjata bom napalm


DAMSYIK 11 Okt. - Selepas kerajaan Syria bersetuju menyerahkan senjata kimianya untuk dimusnahkan, timbul persoalan tentang penggunaan satu lagi senjata berbahaya dalam konflik di negara ini, iaitu bom napalm.
Bom napalm merupakan bom yang mengandungi bahan kimia dan radioaktif yang membakar tubuh mangsa dan dipercayai digunakan dalam serangan di Awram al-Koubra di wilayah Aleppo pada 26 Ogos lalu.
Dalam serangan itu, seramai lapan pelajar mati dan 50 lagi melecur teruk di bahagian muka, kaki, tangan dan badan.
Meskipun bom napalm tidak dikategorikan sebagai senjata kimia, namun kesan penggunaan bahan peledak itu sangat menggerunkan.
Sekumpulan doktor merakamkan kesan serangan bom napalm di Aleppo yang disiarkan dalam program Panorama oleh syarikat televisyen Britain, BBC bagi menunjukkan situasi perubatan yang meruncing di Syria.
Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa, yang ditugaskan menyiasat dakwaan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia di Syria akan mengeluarkan laporan tentang insiden berkenaan.
Doktor wanita kelahiran Britain, Rola Hallam berkata, kebanyakan mangsa yang terlibat dalam serangan itu merupakan kanak-kanak dan remaja.
Katanya, kesemua mangsa mengalami luka melecur yang teruk akibat kesan bom napalm yang digunakan tentera Syria dalam serangan itu.
Seorang lagi doktor dari Britain, Saleyha Ahsan berkata, kesan letupan bom mencetuskan api yang turun seperti hujan dan bebola api yang jatuh dari langit.
“Baju mangsa terbakar dengan mudah apabila terkena api tersebut, sekali gus menyebabkan mangsa melecur teruk.
“Malah kebanyakan mangsa terkejut akibat serangan itu dan tidak mengetahui kesan akibat letupan terbabit," katanya.
Kedua-dua doktor terbabit berharap beberapa pesakit mereka boleh terselamat akibat kecederaan tersebut.
“Kami mahu masyarakat dunia melihat kesan bom napalm terhadap penduduk Syria dan situasi sebenar di negara ini.
“Masyarakat dunia juga perlu bertindak bagi menyekat penggunaan senjata yang berbahaya ini," kata mereka. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131012/lu_01/Bahaya-senjata-bom-napalm#ixzz2hTD7dr16
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment