Saturday 5 October 2013

Bashar mungkin kekal presiden


Beirut: Presiden Syria Bashar al-Assad berkata, masih terlalu awal untuknya menyatakan pendirian sama ada akan bertanding semula untuk mempertahankan jawatanya tahun depan, tetapi tidak menolak menjadi presiden penggal ketiga.

“Segalanya akan lebih jelas dalam tempoh empat lima bulan akan datang kerana Syria mengalami perubahan pesat.


“Jika saya berasa penduduk Syria perlukan sama menjadi presiden lagi saya akan bertanding jawatan itu,” katanya.

Jika tidak, kata Bashar, dia akan berundur. Katanya, dia tidak melihat pendirian itu menimbulkan sebarang masalah kepada dirinya atau negara.


Bashar bercakap kepada wartawan sebuah stesen swasta Turki, Halk TV dan disiarkan semalam. Bashar menjadi Presiden Syria sejak 2000 selepas bapanya, Hafez al-Assad meninggal dunia. Mandat pemerintahan Bashar sepatutnya berakhir pada pertengahan tahun depan.


Dalam usaha menyelesaikan krisis di Syria, penentang Bashar menuntut dia berundur dan menyerahkan kuasa kepada kerajaan sementara sehingga pilihan raya baru diadakan. Bagaimanapun, Bashar menolak tuntutan itu. Di sebalik tekanan antarabangsa, Bashar masih mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk Russia serta golongan minoriti Syria. Dalam temu bual dengan Halk TV itu, Bashar sekali lagi mengulang tuduhannya dengan mengaitkan pejuang asing - termasuk dari Turki - menjadi punca kemelut di Syria. Temubual disiarkan lewat Khamis lalu adalah kenyataan terbarunya kepada media asing selepas diancam serangan udara Amerika Syarikat berikutan penggunaan senjata kimia yang membunuh ribuan penduduk negara itu.

Bashar turut menggunakan temu bual itu untuk menyerang Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan memberi amaran Ankara akan menerima padah jika terus membenarkan pejuang asing memasuki negara itu untuk menyerang Syria. - AP

No comments:

Post a Comment