Thursday 17 October 2013

Bom musnah trak, 21 penumpang maut


Damsyik: Satu letupan kuat memusnahkan sebuah trak di wilayah Daraa, selatan Syria, menyebabkan 21 orang terbunuh, termasuk empat kanak-kanak.

“Dua puluh satu orang terbunuh di kawasan Nawa di Daraa.

Antara mereka ialah empat kanak-kanak dan enam orang awam.

“Trak yang mereka naiki musnah apabila bom meletup ketika ia melalui Tal al-Jumua,” kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria.

Satu batalion tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad berada di kawasan berkenaan dan dikepung oleh kumpulan penentang.

Aktivis mendakwa tentera rejim Bashar memasang bahan letupan itu,” kata kumpulan yang berpusat di Britain itu.

Daraa ialah tempat bermulanya kebangkitan menentang Bashar pada Mac 2011.

Lebih 115,000 orang terbunuh dalam perang saudara selepas itu.

Kumpulan penentang mencapai kemajuan penting di Daraa sejak beberapa bulan lalu.

Kawasan itu terletak di sempadan Jordan dan berhampiran wilayah Damsyik.

Di wilayah Hasake di timur laut Syria, pertempuran sengit meletus antara pejuang Kurdis dengan penentang Bashar yang ada hubungan dengan al-Qaeda menyebabkan 10 orang terbunuh.

Pertempuran meletus di kawasan majoriti Kurdis sejak beberapa bulan lalu selepas kumpulan penentang itu berusaha menyingkirkan pejuang Kurdis dari kawasan yang mereka kuasai.

Penganalisis berpendapat kumpulan penentang yang ada hubungan dengan al-Qaeda berhasrat memusnahkan persaingan kumpulan bersenjata lain yang aktif di kawasan yang tidak dikuasai tentera Bashar.

No comments:

Post a Comment