Saturday 30 November 2013

40 maut depot senjata tentera meletup di Libya


Beberapa anggota pasukan keselamatan, memeriksa lokasi depot senjata tentera yang meletup dan terbakar di Brak al-Chati, berhampiran bandar Sabha, selatan Libya, kelmarin. - AGensi
TRIPOLI/BEGHAZI 29 Nov. - Lebih 40 orang terbunuh dalam satu letupan di depot tentera di selatan Libya di sini selepas penduduk tempatan didakwa cuba mencuri peluru di gudang tersebut semalam.
Menurut seorang pegawai keselamatan, letupan di Brak al-Chati, berhampiran bandar utama Sabha itu berlaku selepas sekumpulan 43 penduduk tempatan dan Afrika bertindak menceroboh depot tentera untuk mencuri peluru.
"Lebih daripada 40 orang terbunuh," kata Komander Pasukan Kawalan Sempadan Brak al-Chati, Khalifa Alsghair.
Bagaimanapun, kenyataan itu disanggah pihak hospital yang memaklumkan hanya menerima dua mayat dan empat mangsa yang cedera.
Sehingga kini pihak keselamatan masih lagi belum dapat mengenal pasti punca sebenar letupan berkenaan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, tiga anggota tentera maut dalam satu pertempuran antara pasukan tentera dan kumpulan militan Ansar al-Sharia di wilayah bergolak Benghazi, timur Libya, kelmarin.
Kejadian berlaku apabila pasukan keselamatan bertindak menahan sebuah kereta dinaiki anggota kumpulan militan yang dipercayai membawa senjata, bahan letupan dan sejumlah wang.
Komander Pasukan Keselamatan Khas, Wanis Bukhmada berkata, seorang lagi anggotanya maut selepas ditembak oleh seorang lelaki tidak dikenali di kawasan berdekatan bandar Beghazi.
Pertempuran itu mula tercetus pada Isnin lalu dan mengakibatkan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh sebelum kumpulan militan itu berundur daripada kubu utama mereka. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131130/lu_10/40-maut-depot-senjata-tentera-meletup-di-Libya#ixzz2mCIxQwdW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment