Saturday 30 November 2013

Budak tanggung derita perit

Geneva: PBB melaporkan kanak-kanak pelarian Syria paling teruk menanggung akibat daripada perang saudara di negara mereka.
Ia dapat dilihat melalui kisah perit golongan terbabit ketika ditemui dan menceritakan pengalaman masing-masing terpaksa meninggalkan kampung halaman. 
Laporan berkenaan jelas menggambarkan trauma dialami generasi muda akibat konflik dipercayai meragut lebih 120,000 nyawa.

Ketua Perlindungan Antarabangsa UNHCR Volker Turk berkata, orang ramai perlu faham bahawa krisis pelarian itu membabitkan manusia.

Turk berkata, semua kanak-kanak terbabit menunjukkan kesan psikologi dan fizikal akibat pengalaman mereka.

“Kanak-kanak ini mengalami masalah tidur, tidak suka bercampur, gagap dan kencing malam.

“Kami dapat melihat kemarahan terutama dalam kalangan budak lelaki yang menyatakan keinginan kembali ke Syria untuk berperang,” katanya.

Kanak-kanak ditemubual turut menceritakan dan melukis kekejaman disaksikan mereka termasuk gambar senjata dan mayat.

Turk berkata, kanak-kanak terbabit juga terpaksa menggalas tanggungjawab mencari pekerjaan untuk menyara keluarga mereka selain tertekan kerana terpaksa hidup dalam persekitaran asing.

Mangsa juga terhalang daripada bersekolah dan membesar dalam keadaan tidak normal apabila lebih 70,000 keluarga terabai tanpa pembelaan, manakala lebih 3,700 kanak-kanak dipercayai yatim piatu. - AFP

No comments:

Post a Comment