Saturday 30 November 2013

Bashar, penentang sedia runding


Damsyik: Kerajaan Syria dan kumpulan penentang utama mengesahkan semalam mereka akan menyertai persidangan damai yang ditaja Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, kedua-dua pihak nampaknya mempunyai idea berbeza terhadap hasil persidangan itu, apabila pembangkang melihat peluang wujudnya sebuah kerajaan peralihan tanpa Bashar, manakala kerajaan menegaskan ia tidak akan melepaskan kuasa.


Isnin lalu, PBB mengumumkan rundingan damai akan bermula pada 22 Januari di Geneva.

Ini akan menjadi perbincangan pertama secara bersemuka antara kerajaan Presiden Bashar Assad serta pembangkangnya sejak konflik di Syria bermula pada Mac 2011 dan dilihat sebagai usaha positif untuk menyelesaikan perang saudara yang didakwa sudah meragut sehingga 120,000 nyawa.


Kementerian Luar Syria dalam satu kenyataan mengesahkan Bashar akan menghantar delegasi rasmi ke persidangan itu.


Kenyataan itu turut menegaskan: “Wakil terbabit dihantar ke Geneva bukan untuk menyerahkan kuasa kepada mana-mana pihak, sebaliknya untuk menemui mereka yang menyokong usaha mencapai penyelesaian poiltik demi masa depan Syria.”

Kumpulan pembangkang utama yang disokong kuasa Barat turut mengesahkan kehadirannya.

“Pada mesyuarat bersama lalu, gabungan pembangkang sepakat dengan wawasan kami berhubung pertemuan di Geneva 2 (persidangan berkenaan),” kata ketua Gabungan Kebangsaan Syria Ahmad al-Jarba. - AP

No comments:

Post a Comment