Saturday 2 November 2013

Israel bedil pangkalan udara Syria



DUBAI 1 Nov. - Israel dilaporkan membedil pangkalan udara Syria di utara wilayah Latakia, dengan menjadikan penghantaran peluru berpandu permukaan ke permukaan (SAM) kepada pergerakan Hezbollah sebagai sasaran, lapor televisyen al-Arabiya, semalam.
Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa 'memang ada satu serangan Israel', namun enggan memberi butiran tentang lokasi atau sasarannya.
"Serangan-serangan oleh Israel sebelum ini sering disasarkan kepada peluru berpandu yang dihantar kepada Hezbollah yang juga sekutu Presiden Syria, Bashar al-Assad,'' kata pegawai itu.
Dalam pada itu, al-Arabiya di laman webnya yang memetik sumber tidak dinyatakan memaklumkan, Israel merupakan dalang dalam beberapa siri letupan yang menggegarkan pangkalan udara Syria di utara wilayah Latakia.
"Pengeboman itu menjadikan satu penghantaran peluru berpandu SAM kepada Hezbollah di Lebanon sebagai sasaran,'' kata laporan itu lagi.
Sementara itu, media Israel turut menyiarkan laporan sama dengan memetik al-Arabiya yang dimiliki Arab Saudi, namun pihak berkuasa Israel ketika dihubungi bagaimanapun enggan untuk mengulas laporan tersebut.
Portal berita Israel, Ynet yang memetik laporan televisyen Lebanon, MTV daripada sumber yang tidak dinyatakan pula mendakwa, Turki merupakan pihak bertanggungjawab dalam serangan terbaharu di Latakia itu, sebagai tindak balas kepada insiden pesawat negara itu yang diserang di kawasan sama.
Bagaimanapun, CNN yang memetik kenyataan seorang pegawai pentadbiran AS yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, pesawat Israel bertanggungjawab melaksanakan serangan itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131102/lu_06/Israel-bedil-pangkalan-udara-Syria#ixzz2jQgQpWLx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment