Friday 8 November 2013

Tentera Bashar tawan semula Sbeineh

Beirut: Tentera yang mendapat bantuan pejuang Hizbullah Lubnan serta kumpulan militia prokerajaan semalam kembali menguasai daerah Sbeineh yang pernah menjadi kubu utama penentang Presiden Bashar al-Assad.
Pengarah Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia Rami Abdel Rahman berkata Sbeineh yang terletak di selatan Damsyik itu adalah kedudukan paling penting pejuang antikerajaan di pinggir ibu negara Syria itu.

“Semua laluan untuk menghantar bekalan kepada pejuang antikerajaan kini terputus,” katanya. Stesen kerajaan Syria turut melaporkan perkembangan sama. Penyampai berkata, tentera kerajaan kembali menguasai Sbeineh dan kampung Ghazalah yang terletak berhampiran selepas “merempuh kedudukan terakhir pengganas” di situ. Penawanan itu berlaku setahun selepas bandar berkenaan dikepung tentera, serta sembilan hari selepas pejuang antikerajaan digempur dalam usaha Damsyik memutuskan laluan bekalan mereka. Rami berkata, turut terbabit dalam serangan tentera Syria itu ialah Pasukan Pertahanan Kebangsaan dan Briged Abul Fadl al-Abbas.
“Keselamatan orang awam di Sbeineh kini mungkin terancam kerana pengalaman lalu menunjukkan tentera kerajaan akan membunuh mereka dan meletakkan kesalahan kepada pejuang,” katanya dalam satu kenyataan. - AFP
Foto
ANGGOTA Unit Perlindungan Rakyat Kurdis memeriksa senjata api berhampiran Ras al-Ain di Hasakah selepas menguasai bandar itu daripada pemberontak Islam, semalam.

No comments:

Post a Comment