Tuesday 24 December 2013

301 maut dibedil tentera Syria di Aleppo


DAMSYIK 23 Dis. - Bedilan bertubi-tubi tentera pimpinan Presiden, Bashar al-Assad ke atas bandar Aleppo di sini, menyaksikan kira-kira 301 termasuk 87 kanak-kanak maut sejak ia dilancarkan lapan hari lalu, dedah kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria hari ini.
Menurut kumpulan itu yang memetik saksi, selain kanak-kanak, seramai 30 wanita dan 30 penentang kerajaan turut maut dalam operasi besar-besaran tentera sejak 15 Disember lalu sehingga semalam.
Kumpulan penentang kerajaan menyatakan, tentera Syria menggugurkan tong-tong berisi bom di Aleppo dalam usaha melemahkan mereka.
Satu sumber keselamatan memberitahu AFP, taktik itu digunakan kerana tentera kekurangan anggota.
Pihak berkuasa turut menyalahkan anggota penentang kerajaan yang dikatakan sengaja bersembunyi di kawasan penduduk awam sehingga mengakibatkan jumlah korban yang tinggi.
Dalam kejadian terbaharu semalam, sekurang-kurangnya 56 orang terkorban, termasuk tujuh anggota penentang kerajaan dan enam kanak-kanak apabila tentera Syria melancarkan serangan udara di beberapa perkampungan di Aleppo.
Pengarah Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, tentera Syria menggugurkan tong-tong berisi bom di beberapa kawasan penempatan kumpulan penentang kerajaan, termasuk perkampungan Atareb dan Marea.
"Serangan itu disifatkan sebagai cubaan Assad untuk mempengaruhi penduduk yang tinggal di kawasan tersebut menentang kumpulan penentang.
"Assad tidak kisah jika banyak rakyat maut dalam serangan itu, asalkan matlamatnya untuk membanteras kumpulan penentang berjaya," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131224/lu_04/301-maut-dibedil-tentera-Syria-di-Aleppo#ixzz2oMcCdWMm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment