Tuesday 31 December 2013

90 penentang kerajaan Syria terbunuh


BEIRUT 3 Sept. - Sekurang-kurangnya 90 orang penentang kerajaan terbunuh dekat ibu negara Syria, Damsyik dalam tempoh 48 jam lalu, dalam pertempuran antara penentang kerajaan dan tentera Syria.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria, sebanyak 29 orang yang terbunuh dalam serang hendap tentera di Adra, timur laut Damsyik, termasuk bukan penduduk Syria.
Agensi berita SANA melaporkan tentera kerajaan telah membunuh 'sebahagian besar' anggota kumpulan Barisan al-Nusra, yang merekrut ramai warga asing sebagai anggota.
Adra, adalah bandar perindustrian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Damsyik dan merupakan pintu masuk ke Eastern Ghouta, kawasan pertanian di mana penentang kerajaan dan tentera sering bertempur.
Ghouta di pinggir Damsyik yang dikuasai penentang kerajaan menjadi sasaran serangan senjata kimia pada 21 Ogos lalu yang mencetuskan kemarahan masyarakat dunia.
Kumpulan pemerhati berkata, 46 lagi penentang kerajaan terbunuh pada Ahad lalu dalam satu serangan udara dan pertempuran yang berlaku ketika tentera kerajaan membalas serangan penentang kerajaan di sekitar bandar Rouhayba yang terletak di timur laut Syria.
Sebanyak 11 lagi penentang kerajaan terbunuh di beberapa kawasan berhampiran Damsyik.
Di kawasan lain, seramai lapan orang terbunuh termasuk lima kanak-kanak, apabila tentera kerajaan mengebom bandar Tal Aran di utara wilayah Aleppo. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130904/lu_03/90-penentang-kerajaan-Syria-terbunuh#ixzz2p4EwGLn6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment