Monday 16 December 2013

Kanak-kanak Syria diancam kematian


Beberapa orang kanak-kanak Syria berdiri di luar khemah pelarian di bandar Aarsal di timur Bekaa, Lebanon, kelmarin. Beratus ribu kanak-kanak pelarian Syria diancam kematian akibat cuaca sejuk yang melanda timur Mediterranean minggu ini. - REUTERS
GENEVA 15 Dis. - Beratus-ratus ribu pelarian kanak-kanak Syria akibat perang saudara berdepan ancaman penyakit dan kematian ekoran ribut salji yang melanda kem-kem pelarian di Asia Barat.
Jurucakap agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Roberta Russo memberi amaran, kebanyakan golongan itu hanya berbekalkan selipar dan baju T berdepan ancaman ribut Alexa di rantau itu yang membawa ancaman angin kuat, ribut salji dan suhu sejuk melampau.
Russo berkata, ribut tersebut merupakan yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad dan mengancam berjuta-juta pelarian Syria yang kini hanya berlindung di khemah-khemah dan tempat perlindungan buatan sendiri.
Jelasnya, golongan kanak-kanak paling berisiko menghidap penyakit pneumonia atau jangkitan paru-paru dan penyakit pernafasan yang boleh membawa maut.
"Kami sangat bimbang dengan kesan cuaca sejuk yang boleh meragut nyawa pelarian kanak-kanak Syria.
"Kami sedang bekerjasama dengan pihak hospital dan klinik bagi menghadapi persediaan peningkatan penyakit maut di kem-kem pelarian," katanya.
Menurut laporan aktivis tempatan, sebanyak 13 pelarian kanak-kanak di Syria maut akibat cuaca sejuk.
Kebanyakan keluarga yang tinggal di bandar Homs terpaksa bergantung kepada haba pembakaran sampah kerana tidak mempunyai bekalan elektrik, alat pemanas atau makanan panas.
Russo berkata, agensi bantuan berusaha keras memastikan nasib yang sama tidak berlaku di kem-kem pelarian Syria di Lebanon dan Jordan yang mempunyai lebih dua juta pelarian.
Ujarnya, di Lebanon sahaja, pihak agensi menyalurkan 255,000 selimut dan minyak serta arang batu kepada pelarian di sana.
"Namun, jumlah berkenaan masih tidak mencukupi kerana jumlah pelarian yang semakin bertambah, terutamanya di Lebanon dengan peningkatan daripada 100,000 orang pada 2012 kepada hampir sejuta orang pada bulan ini.
"Kami juga memberi peruntukan kepada 200,000 pelarian untuk membeli dapur bagi memasak makanan panas serta memanaskan tempat perlindungan mereka," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131216/lu_02/Kanak-kanak-Syria-diancam-kematian#ixzz2nd2GG61B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment