Friday 20 December 2013

Pelan musnah senjata kimia Syria dirangka


KAHERAH 19 Dis. - Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) semalam merangka pelan pemusnahan senjata kimia Syria di luar negara itu, tetapi memberi amaran kemungkinan berlakunya penangguhan disebabkan pertempuran berhampiran sebuah lebuh raya utama.
Ketua Pengarah OPCW, Ahmet Uzumcu (gambar) berkata, Rusia telah bersetuju untuk menyediakan trak perisai bagi membantu proses pemindahan senjata kimia ke pelabuhan Latakia di Syria, manakala Amerika Syarikat (AS) akan menyediakan 3,000 tong dan peralatan teknikal yang diperlukan.
Syria pula akan bertanggungjawab terhadap pemindahan senjata itu ke Latakia.
Ahmet turut mengesahkan Denmark dan Norway akan menyediakan kapal pengangkutan dan tentera pengiring untuk membawa senjata ke sebuah pelabuhan di Itali bagi memindahkan bahan kimia utama ke kapal AS bagi tujuan pemusnahan di laut.
OPCW juga akan memulakan proses tender hari ini untuk penghapusan komersial bahan kimia selebihnya.
Beliau turut memberi amaran, rancangan pelupusan senjata kimia Syria yang sepatutnya diadakan pada akhir bulan Mac depan diikuti pemusnahan gedung senjata tiga bulan kemudian mungkin akan ditangguhkan.
Perkara itu berikutan pertempuran yang berlaku di kawasan Qalamoun yang melintasi jalan utama utara dari Damsyik ke Homs dan Lattakia yang dilihat berisiko terhadap pelaksanaan pemusnahan senjata kimia itu.
Terdahulu, Syria bersetuju untuk menghapuskan senjata kimianya sejajar dengan perjanjian antara Rusia-AS berikutan beratus-ratus kematian disebabkan serangan senjata kimia dalam kawasan penentang di luar Damsyik pada Ogos lalu. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131220/lu_13/Pelan-musnah-senjata-kimia-Syria-dirangka#ixzz2nzTNql30
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment