Friday 10 January 2014

Ibu pejabat ISIL digempur


DAMSYIK 9 Jan. - Kumpulan penentang Syria menggempur ibu pejabat Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Aleppo, selepas kumpulan yang mempunyai hubungan dengan rangkaian al-Qaeda itu melancarkan pembunuhan beramai-ramai.
Kumpulan penentang itu dilaporkan turut memberi tekanan kepada ISIL di Raqa, satu-satunya wilayah yang berjaya ditawan kumpulan itu daripada Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Satu sumber keselamatan memberitahu AFP, perbalahan dalaman itu secara tidak langsung memberi keuntungan kepada kerajaan al-Assad.
Operasi menawan ibu pejabat ISIL itu dilancarkan sehari selepas jurucakap ISIL mengancam untuk menghancurkan kumpulan penentang yang menyerang ISIL di beberapa wilayah.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, tiada saki baki anggota ISIL yang masih berada di Aleppo.
Sementara itu, dua wartawan Sweden yang hilang di Syria sejak November lalu telah dibebaskan, manakala tiga kakitangan kumpulan bantuan kemanusiaan Czech terbunuh dalam satu serangan mortar.
Barisan Kebangsaan Syria, gabungan kumpulan pembangkang menangguhkan keputusan berhubung sama ada akan menghadiri rundingan damai di Switzerland atau tidak.
Pertempuran antara ISIL dan kumpulan penentang meletus sejak Jumaat lalu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 385 orang, termasuk 56 orang awam.
Kumpulan penentang menggempur ibu pejabat ISIL yang terletak di sebuah hospital di Qadi Askar, Aleppo dan berjaya membebaskan berpuluh-puluh tahanan.
Dalam satu rakaman video internet, semalam menunjukkan ISIL sebelum ini telah menembak mati sekurang-kurangnya sembilan tahanan penjara selepas mereka digari dan mata mereka ditutup.
Barisan Kebangsaan Syria mengutuk tindakan kejam ISIL itu yang dilihat cuba mengikut langkah kerajaan pimpinan al-Assad bagi menyekat kebebasan dan hak bersuara, selain melanggar hak asasi manusia. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140110/lu_05/Ibu-pejabat-ISIL-digempur#ixzz2pxnW4ewY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment