Sunday 5 January 2014

Iraq gempur militan al-Qaeda


Beberapa orang lelaki bersenjata meronda di bandar Falluja, kira-kira 50 kilometer ke barat Baghdad, kelmarin, selepas polis Iraq dengan bantuan beberapa puak menggempur militan al-Qaeda yang menguasai dua bandar di wilayah Andar. - REUTERS
RAMADI 4 Jan. - Lebih 100 orang dilapor terbunuh semalam apabila polis Iraq dengan bantuan beberapa puak menggempur militan al-Qaeda yang menguasai dua bandar di wilayah Andar di selatan negara ini sejak beberapa hari lalu.
Kumpulan Negara Iraq dan Levant (ISIL) yang dikaitkan dengan militan al-Qaeda menguasai sebahagian kawasan di Ramadi dan Fallujah di barat Baghdad, dua kubu kuat pemberontak sejak Amerika Syarikat (AS) menceroboh negara ini untuk menggulingkan Presiden Saddam Hussein.
ISIL turut dipercayai terlibat dalam peperangan di Syria dengan membantu tentera kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad memerangi kumpulan penentang.
Dalam pertempuran semalam, seramai 32 orang awam dan 71 anggota ISIL maut, namun jumlah kematian dalam kalangan polis dan puak tidak diketahui.
Seorang saksi berkata, beratus-ratus anggota ISIL yang membawa bendera hitam berkumpul di luar masjid di Fallujah selepas selesai solat Jumaat sebelum pertempuran meletus.
Sementara itu di Ramadi, pertempuran dilaporkan masih lagi sengit, namun maklumat berhubung jumlah kematian tidak diketahui.
Pertempuran di Ramadi bermula sejak Isnin lalu, selepas pasukan keselamatan menyerbu kem penunjuk perasaan antikerajaan yang berkampung di tepi sebatang lebuh raya.
Keganasan kemudiannya merebak ke Fallujah dan pengunduran pihak keselamatan di kedua-dua bandar berkenaan memberi laluan kepada militan ISIL untuk menguasainya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140105/lu_02/Iraq-gempur-militan-al-Qaeda#ixzz2pUQwVKMN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment