Tuesday 21 January 2014

SNC pulau dialog Syria


Beberapa penduduk membantu mengangkat mayat seorang kanak-kanak perempuan yang maut akibat bedilan tentera Syria di kawasan perumahan Al-Maysar, Aleppo, kelmarin. - REUTERS
GENEVA 20 Jan. - Pakatan pembangkang Syria mengugut untuk memulaukan rundingan damai, sekiranya Iran terlibat dalam perbincangan itu selepas menerima pelawaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon semalam berkata, beliau menjemput Iran untuk menyertai rundingan itu di Switzerland pada Rabu ini, selepas Teheran mahu memainkan peranan penting dan positif bagi menamatkan perang saudara di Syria.
Bagaimanapun Majlis Kebangsaan Syria (SNC) menegaskan bahawa pihaknya akan menarik diri daripada rundingan itu, melainkan jemputan ke atas Iran dibatalkan kerana keengganan sekutu kuat Presiden Bashar al-Assad itu menerima pelan pembentukan kerajaan peralihan.
Malah, Amerika Syarikat (AS) turut menggesa Iran supaya menyokong pelan berkenaan atau jemputan menyertai rundingan itu ditarik balik.
Sebelum ini, Washington dan beberapa negara Barat menentang penyertaan Iran dalam dialog tersebut, selagi Teheran enggan menerima pelan kerajaan peralihan di Syria.
Jika Iran menyertai rundingan itu, sebanyak 40 buah negara dan sebuah pertubuhan serantau akan turut serta dalam perbincangan berkenaan yang menjadi usaha diplomatik paling penting bagi menamatkan konflik di Syria, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 100,000 nyawa.
Rundingan itu disusuli dengan perbincangan antara kerajaan Bashar dan pembangkang yang dijangka bermula di Geneva pada Jumaat ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140121/lu_06/SNC-pulau-dialog-Syria#ixzz2qyYE3d00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment