Monday 14 April 2014

Serangan kimia terbaharu di Syria


BEIRUT 13 April - Kumpulan pe­nentang dan pihak kerajaan mengesahkan seorang penduduk terbunuh, manakala sejumlah orang lagi cedera ekoran sera­ngan gas beracun di kawasan yang dikuasai penentang kerajaan, semalam ketika usaha memusnahkan senjata kimia di negara ini sedang giat dijalankan.
Pihak berkuasa sedang masih menyiasat kejadian itu, yang berlaku kelmarin di perkampungan Kfar Zeita yang dikuasai penentang kerajaan, kira-kira 200 kilometer dari Damsyik.
Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengambil masa beberapa bulan untuk mengesahkan beberapa serangan senjata kimia yang berlaku pada tahun lalu, termasuk serangan yang menyebabkan beratus-ratus penduduk terbunuh.
Beberapa rakaman video oleh pihak aktivis di Kfar Zeita me­nunjukkan imej beberapa lelaki, wanita dan kanak-kanak memakai topeng gas oksigen dan mengalami kesukaran bernafas di sebuah hospital.
Kejadian itu didakwa berpunca daripada kesan serangan sejenis racun.
Pihak penentang dan tentera kerajaan menyalahi antara satu sama lain berhubung kejadian itu.
Kumpulan Gabungan Kebangsaan Syria mendedahkan bahawa serangan gas beracun itu turut mencederakan berpuluh-puluh orang, namun jenis gas yang digunakan tidak dapat dikenal pasti.
Sementara itu, Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, gas beracun itu dikeluarkan melalui serangan udara yang mengeluarkan asap tebal di kawasan tersebut dan menyebabkan orang ramai lemas dan mengalami sesak nafas.
Stesen televisyen tempatan pula menyalahkan Barisan Nusra dalam serangan berkenaan dan mendakwa kumpulan itu menggunakan gas klorin yang mengakibatkan dua orang terbunuh dan lebih 100 orang cedera.
Namun, stesen televisyen itu tidak menjelaskan tentang cara penggunaan gas klorin itu, selain mendakwa Barisan Nusra sedang bersiap-sedia untuk melancarkan satu lagi serangan senjata kimia di Wadi Deif serta Hama.
Bagaimanapun, stesen televisyen kerajaan itu tidak menyatakan sumber yang mendedahkan rancangan kumpulan tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140414/lu_05/Serangan-kimia-terbaharu-di-Syria#ixzz2yo4ICSHv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment