Tuesday 20 May 2014

Dari padang bola ke medan perang


Beirut: Kisahnya bermula sebagai wira bola sepak tempatan di Homs, namun apabila pejuang antikerajaan mula bangkit mengangkat senjata menentang Presiden Bashar Assad, Abdelbaset Sarout tidak teragak-agak meninggalkan dunia sukannya demi mengetuai protes aman dan menghimpunkan ribuan pengikut bagi menuntut pengunduran pemimpin terbabit.

Kini, hampir tiga tahun berlalu dan bekas penjaga gol berusia 22 tahun itu mencipta nama pula sebagai ikon popular dalam kempen menentang kerajaan selepas Homs dikepung pihak tentera lebih dua tahun .


Abdelbaset muncul semula awal bulan ini bersama ratusan pejuang yang diusir dari bandar berkenaan berikutan gencatan senjata dengan pihak kerajaan, namun semangat juangnya tidak pernah pudar.

Pada 8 Mei lalu, dia dilihat meninggalkan Homs bersama pejuang lain seterusnya menyerahkan bandar itu kepada tentera kerajaan.


Dalam video yang dimuat naik Abdelbaset dilihat menunjukkan tanda kemenangan apabila tiba di sebuah bandar di utara Syria sambil disambut penyokongnya.


Walaupun terlalu kurus Abdelbaset tetap bersemangat waja.

“Selepas kami menemui keluarga dan mendapatkan bekalan makanan serta senjata diperlukan, kami akan meneruskan perjuangan ini,” katanya.

Rakan seperjuangannya dikenali sebagai Yisser menyifatkan Abdelbaset sebagai pejuang sebenar yang berazam menjatuhkan rejim sedia ada.

“Azam dan semangatnya memang kuat. Setiap perlakuannya menunjukkan dia pejuang sejati dan wira menentang seorang diktator.

“Pengalamannya ini mendekatkan kami dengan Tuhan, namun dia bukan seorang radikal,” katanya.

Abdelbaset sendiri bagaimanapun gagal dihubungi untuk temuramah selepas dipercayai bergerak ke utara Syria apabila diusir dari Homs.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/20

No comments:

Post a Comment