PARIS - PERANCIS. Menteri Luar Perancis Laurent Fabius mendakwa, Syria menggunakan senjata kimia dalam 14 siri serangan sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Reuters, mereka mempunyai bukti menunjukkan gas klorin digunakan dalam skala kecil oleh tentera rejim Presiden Bashar al-Assad.

Selain itu, Fabius turut melahirkan kebimbangan berikutan Bashar dikatakan masih menyembunyikan sebahagian bekalan senjata kimia milik Syria walaupun mereka telah menyerahkan 92 peratus daripadanya untuk dimusnahkan.

"Ia jelas membuktikan rejim Bashar gagal menunaikan janji kerana mereka masih menghasilkan senjata kimia yang digunakan untuk membunuh rakyat di Syria," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Lakhdar Brahimi meletak jawatan berkuatkuasa 31 Mei ini.

Keputusan mengejut itu dibuat kerana beliau kecewa dengan Bashar yang enggan melaksanakan pelan damai dan merancang mengadakan pilihan raya pada bulan depan.